suria

Tidur pun boleh kurus, tapi macam mana caranya?

Tidur yang mencukupi dapat membantu menurunkan berat badan.

JIKA ditanya mengenai rahsia untuk menurunkan berat badan, diet dan senaman adalah jawapan paling biasa kita dengar tetapi tahukah anda dengan tidur juga membolehkan anda mendapat tubuh impian?

Tidur sebenarnya sama penting dengan diet dan senaman yang anda lakukan setiap hari. Namun sayangnya ramai yang tidak mengendahkan waktu tidur meskipun ia faktor paling penting.

ARTIKEL BERKAITAN: Ada sebab kenapa nafas anda berbau waktu pagi, cuba 3 cara ini untuk mengatasinya

Berikut adalah kesan kekurangan tidur yang boleh membantutkan proses menguruskan badan meskipun mengamalkan diet dan senaman.

1. Tidur tidak berkualiti

Kurang tidur adalah faktor utama penambahan berat badan yang memberi kesan kepada indeks tubuh yang lebih tinggi malah kajian tentangnya pernah diterbitkan dalam Jurnal Clinical Nutrition and Metabolic Care pada 2013.

Keperluan tidur seseorang berbeza namun kajian mendapati seseorang yang tidur kurang daripada tujuh jam lebih berisiko mengalami pertambahan berat badan.

Disebabkan itu, tidur yang mencukupi sangat penting selain pemakanan seimbang dan senaman dalam usaha mengurangkan berat badan.

2. Kurang tidur, nafsu makan meningkat

Banyak kajian mendapati bahawa kurang tidur boleh menyebabkan peningkatan nafsu makan dan ia disebabkan oleh dua hormon penting iaitu ghrelin dan leptin.

Ghrelin adalah hormon yang dilepaskan pada perut yang menandakan rasa lapar pada otak. Kadar hormon ini melonjak ketika dalam keadaan lapar.

Manakala leptin adalah hormon yang dilepaskan daripada sel lemak. Hormon ini berfungsi memberi singal lapar dan kenyang. Ketika seseorang tidak cukup tidur, tubuh akan menghasilkan lebih banyak ghrelin yang membuatkan kita sentiasa berasa lapar.

3. Kurang tidur jadi lesu

Kurang tidur boleh menyebabkan kelesuan pada waktu siang sehingga membuatkan seseorang tidak bersemangat dan kurang bermotivasi. Ia sekaligus membuatkan seseorang itu menjadi malas untuk bersenam dan tidak menjaga kesihatan.

Dalam keadaan itu, akan ada yang lebih cenderung untuk makan lebih banyak atau mengambil kalori seperti air manis untuk mendapatkan tenaga - yang kesannya akan meningkatkan berat badan.

4. Tak dapat buat keputusan

Apabila kurang tidur dan tidak cergas, ia akan memberi kesan kepada cara otak bekerja. Ia sekaligus memberi kesan kepada cara berfikir serta membuat keputusan termasuk tentang makanan.

Malah dalam sebuah kajian mendapati, kurang tidur dapat meningkatkan tarikan seseorang terhadap makanan tinggi kalori, karbohidrat dan lemak.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!


Artikel Berkaitan

Artikel Lain