suria

Elak serangan asid urik... Bukan sahaja makanan laut, penderitanya jangan sentuh 5 makanan ini

Makanan laut sering dikaitkan sebagai punca masalah asid urik.

ASID urik adalah produk akhir semula jadi penghuraian tisu badan dan pemakanan terutamanya protein. Ia biasanya dikeluarkan dari darah oleh ginjal dan disingkirkan daripada badan melalui air kencing.

Bagaimanapun, jika terlalu banyak asid urik yang terhasil, atau ginjal tidak dapat mengeluarkannya daripada darah, paras asid urik dalam darah boleh meningkat dan ia dikenali sebagai hiperurisemia.

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan sebab berpeluh saja, jom ambil tahu jenis bau badan disebabkan masalah kesihatan

Bagi penderita masalah ini, perubahan pola pemakanan dapat membantu menjaga kadar asid urik dalam tubuh kerana jika tidak dikawal, ia boleh menyebabkan sakit sendi dan memicu serangan asid urik.

Oleh sebab itu, pesakit perlu mengambil pemakanan sihat serta menjauhi makanan mengandungi lemak tepu, melebihkan makanan berserat tinggi serta kekacang dalam diet mereka.

Selain itu, pesakit juga perlu mengelak beberapa jenis makanan termasuklah;

1. Makanan tinggi gula

Gula yang terdapat dalam makanan dan minuman dapat meningkatkan kadar asid urik. Untuk itu, pesakit disarankan untuk membataskan pengambilan atau menghindari gula.

Selain itu juga, jangan minum minuman ringan seperti berkarbonat, soda dan sebagainya.

2. Makanan proses

Makanan yang diproses dan diawet juga tidak baik untuk pesakit asid urik kerana ia boleh memicu serangan serta memburukkan keadaan penderita asid urik.

Maka jauhi makanan seperti keropok, ais krim, mi segera serta makanan sejuk beku.

3. Daging merah

Daging seperti lembu atau kambing termasuk dalam kalangan makanan yang mengandungi purin tinggi. Makanan tersebut dapat meningkatkan kadar asid urik dalam darah serta memicu rasa sakit.

Gantikan dengan dading putih seperti ikan dan ayam dalam saiz hidangan sederhana.

4. Makanan laut

Kebiasaannya, serangan asid urik sering dikaitkan dengan pengambilan makanan laut. Sebenarnya bukan semua tidak boleh dimakan tetapi hanya ada beberapa jenis yang boleh menyebabkan keadaan pesakit bertambah teruk.

Makanan laut seperti udang kara, udang, ikan salmon dan tuna masih boleh dimakan tetapi dalam jumlah sederhana.

5. Makanan penapaian

Makanan hasil daripada proses penapaian seperti kicap, taufu, tapai dan sebagainya boleh menyebabkan masalah asid urik bertambah teruk.

Sebaik-baiknya, jangan sentuh langsung makanan tersebut sama ada sedang sakit atau pun tidak.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain