suria

Faye Kusairi alami lumpuh sebelah muka, ketahui apa itu penyakit Bell Palsy... boleh sembuh ke?

Dr Arisman menjelaskan tentang penyakit Bell Palsy.

JUMAAT lalu, pelakon Faye Kusairi mendedahkan diserang penyakit dikenali Bell Palsy yang menyebabkan kelumpuhan pada sebahagian wajahnya.

Serangan itu telah menyebabkan wajahnya menjadi senget sebelah selain mata dan mulut tidak simetri.

ARTIKEL BERKAITAN: Otot paha Amira Othman koyak, Dr Say Shazril jelaskan bagaimana organ dalaman boleh rosak - “Janganlah hari pertama bersenam terus masuk gear lima”

Bagaimanapun keadaan Faye, 33, semakin beransur pulih selepas mendapatkan rawatan di sebuah hospital.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai Bell Palsy, Pegawai Perubatan Klinik Ajwa Shah Alam, Dr. Arisman Abdul Rahman memberitahu ia adalah penyakit kelumpuhan atau kelemahan otot di sebelah muka.



Dr. Arisman memberitahu pesakit diabetes mempunyai risiko lebih tinggi terkena penyakit itu.

Turut dikenali sebagai Idiopathic Facial Paralysis (IFP), ia berlaku disebabkan oleh kerosakan fungsi pada saraf muka, namun sehingga kini tidak diketahui punca berlakunya penyakit itu.

Bagaimanapun jelas Dr. Arisman, ia paling biasa berlaku dalam kalangan orang dewasa berusia 60 tahun ke atas selain risiko tiga kali ganda pada wanita mengandung.

"Bagi pesakit diabetes pula, golongan ini mempunyai risiko lebih 29 peratus berbanding orang biasa untuk mendapat serangan Bell Palsy," ujarnya.

Dalam pada itu, Dr. Arisman menjelaskan serangan penyakit itu sering dikaitkan dengan jangkitan virus iaitu herpes simplex namun ia juga boleh disebabkan oleh jangkitan kuman, bakteria, peradangan, penyakit mikrovaskular seperti diabetes melitus dan tekanan darah tinggi.

Ia juga katanya, turut dikaitkan dengan sejarah jangkitan kuman pada saluran pernafasan.

Jelasnya lagi, terdapat beberapa gejala Bell Palsy termasuklah;

1. Lemah atau lumpuh tiba-tiba pada separuh wajah (berlaku kurang daripada 48 jam)

2. Sakit pada belakang dan di dalam telinga

3. Gangguan deria rasa (57 peratus)

4. Sudut mulut menjadi senget (pada tempat kerosakan saraf berlaku)

5. Mata tidak boleh tertutup rapat (pada tempat kerosakan saraf berlaku)

6. Lemah otot muka (pada tempat kerosakan saraf berlaku)

7. Hyperacusis (masalah pendengaran 30 peratus)

8. Kurang air mata atau kering



Faye memberitahu keadaannya beransur pulih.

Bagaimanapun jelas Dr. Arisman, serangan penyakit itu tidak akan menyebabkan lemah atau lumpuh pada anggota badan lain seperti tangan atau kaki.

Sekiranya berlaku gejala tersebut, pesakit perlu segera ke hospital bagi mendapatkan rawatan termasuklah;

1. Doktor akan melakukan pemeriksaan saraf kepala (cranial nerve) kerana tiada ujian darah atau ujian lain yang khusus untuk mendiagnos penyakit itu.

2. Perlu pastikan ia bukan gejala awal serangan angin ahmar dan bacaan tekanan darah sangat penting.

3. Rawatan segera dapat mengurangkan komplikasi teruk pada saraf yang rosak/cedera iaitu

- Memulihkan saraf muka yang rosak (facial nerve)

- Mengelakkan kerosakkan lanjut pada saraf (neuronal damage)

- Mengelakkan komplikasi pada mata kerana terdedah (Rawatan seperti prednisolone, ubat antiviral dan ubat titisan mata. Pesakit perlu memakai pelindung mata sehingga mata boleh tutup sepenuhnya).

Sementara itu, Dr. Arisman menjelaskan, pesakit Bell Palsy boleh sembuh sepenuhnya dalam tempoh enam minggu hingga tiga bulan.

Bagaimanapun sekiranya usia pesakit lebih 60 tahun ke atas, peratusan sembuh sepenuhnya adalah berkurangan sekitar 40 peratus sahaja.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain