suria

Usus sihat, ilmu pun dapat... Ayuh sertai lawatan maya interaktif ke kilang Yakult

Lawatan maya ke kilang Yakult ini akan dikelola secara langsung dari kilang Yakult di Seremban, Negeri Sembilan.

PANDEMIK yang melanda dunia ketika ini sememangnya memberi impak luar buat semua penduduk di negara ini.

Dalam detik sukar itu, ia memaksa kita tampil dengan idea kreatif dan unik, sejajar dengan kehidupan dalam pelbagai norma baharu.

Tidak terkecuali, Yakult Malaysia turut mencipta sejarah apabila menjadi pengeluar produk makanan dan minuman yang pertama memperkenalkan lawatan maya interakif ke kilang penghasilan produk itu.

Bermula pada Oktober lalu, mana-mana individu yang berminat untuk menyertai lawatan ini boleh membuat tempahan sesi percuma dan melihat sendiri cara pembuatan Yakult secara maya dari rumah, sekolah atau di mana-mana sahaja dengan lebih selamat dan selesa.

Menurut Pengarah Urusan Yakult (M) Sdn Bhd, Hiroshi Hamada, kaedah itu menjadi pengganti kepada lawatan kilang secara fizikal yang pernah diperkenalkan sebelum ini.

"Ketika ini, keadaan pandemik telah menyebabkan dunia mengalami perubahan dan kebanyakan aktiviti-aktiviti yang biasanya dilakukan di luar rumah seperti membeli-belah, hiburan, makan, bersenam, sesi persekolahan bahkan rundingan perubatan telah dilakukan secara dalam talian.

"Kita perlu membiasakan diri dengan norma baharu ini. Oleh itu, kami telah melancarkan lawatan maya ke kilang Yakult bagi menggantikan lawatan kilang secara fizikal yang tidak dapat dijalankan ketika ini.

"Kami percaya melalui cara ini, kami dapat meneruskan usaha untuk memberi kesedaran kepada pengguna dan menggalakkan mereka untuk menjaga kesihatan usus serta memastikan usus mereka sentiasa kuat dengan pengambilan probiotik secara berterusan," ujarnya.

Lawatan kilang Yakult secara maya yang dijalankan di SJKC Pei Hua, Seremban.

Tambah beliau lagi, pihaknya amat menggalakkan agar orang ramai menyertai lawatan itu bagi mempelajari ilmu berkaitan yang cukup bermanfaat.

Untuk rekod, seramai 3,480 pengunjung telah berjaya mengunjungi kilang Yakult secara maya sejak program ini diperkenalkan.

Menerusi tinjauan yang dijalankan, didapati kesemua pengunjung berpuas hati dengan kualiti keseluruhan lawatan maya yang diperkenalkan oleh pihak Yakult.

Malahan penganjur menganggarkan seramai 6,000 pengunjung akan menyertai lawatan maya ke kilang Yakult sehingga tempoh akhir tahun 2020.

Inisiatif itu juga sejajar dengan falsafah syarikat Yakult iaitu pencegahan penyakit (konsep mencegah lebih baik daripada mengubati), usus yang sihat membawa kepada umur yang panjang dan menyebarkan kesihatan yang baik kepada semua.

Bagi mereka yang berminat, tempahan kini boleh dilakukan pada bila-bila masa melalui laman sesawang rasmi Yakult, https://yakult.com.my/factorytours/, bagaimanapun tempahan seharusnya dibuat sekurang-kurangnya dalam tempoh tiga hari bekerja sebelum tarikh sesi lawatan maya yang dipilih.

Penganjur menganggarkan seramai 6,000 pengunjung akan menyertai lawatan maya ke kilang Yakult sehingga tempoh akhir tahun 2020.

Ia boleh dijadualkan pada setiap Isnin hingga Sabtu, bermula 8.30 pagi sehingga 4.00 petang.

Lawatan maya ke kilang Yakult ini akan dikelola secara langsung dari kilang Yakult di Seremban, Negeri Sembilan oleh pegawai bertugas dan setiap sesi lawatan yang lengkap boleh mengambil masa selama 20 minit hingga 30 minit.

Sepanjang sesi lawatan maya ini juga, penerangan mengenai proses penghasilan Yakult akan diberikan dan disertai dengan aktiviti kuiz serta sesi soal jawab yang mana pengunjung berpeluang untuk bertanyakan soalan kepada pegawai perhubungan awam Yakult.

Lebih menarik, pengunjung juga bebas membuat pilihan bahasa ketika melakukan tempahan.

Jadi apa di tunggu lagi, jom kita 'serbu' lawatan maya penuh interaktif ini.

Apa yang pasti... usus sihat, ilmu pun dapat.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain