suria

Otot paha Amira Othman koyak, Dr Say Shazril jelaskan bagaimana organ dalaman boleh rosak - “Janganlah hari pertama bersenam terus masuk gear lima”

Dr Say Shazril menjelaskan kecederaan yang berlaku pada Amira adalah tidak normal.

AKIBAT bersenam melebihi kemampuan dirinya, penyanyi Amira Othman terpaksa dimasukkan ke sebuah hospital sejak Sabtu lalu selepas otot pahanya terkoyak dan mengalami pendarahan.

Kecederaan di bahagian otot pahanya itu berlaku selepas Amira pertama kali menyertai kelas senam berbasikal tertutup (indoor cycling) baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Pertama kali masuk kelas senam berbasikal, otot paha Amira Othman koyak dan berdarah - “Warna air kencing bertukar hitam... darah itu kacau buah pinggang dan hati”

Pada awalnya, penyanyi itu menyangka rasa sakit pada pahanya adalah perkara biasa namun kesakitan itu bertambah teruk dan lebih menakutkan apabila air kencingnya bertukar warna kehitaman.



Dr Say Shazril menjelaskan seseorang itu perlu bersenam mengikut kemampuannya agar tidak berlaku sebarang kecederaan.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Dr Muhammad Shazril Sharuddin atau Dr Say Shazril menjelaskan kecederaan yang berlaku kepada Amira itu adalah normal malah ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja termasuklah individu yang sudah bersenam untuk tempoh lama.

Dr Say Shazril menjelaskan dalam istilah perubatan, kecederaan Amira itu dikenali sebagai Rhabdomyolysis atau kerosakan otot.

"Jika sesiapa yang biasa bersenam sama ada jogging, berbasikal, latihan angkat berat memang akan ada kerosakan otot yang kecil yang mana otot yang cedera itu akan digantikan dengan sel-sel baru yang membuatkan otot anda menjadi lebih kuat.

"Bagaimanapun, apabila seseorang itu memaksa dirinya melebihi kapasiti seperti dalam kes Amira, akan berlaku kerosakan otot yang serius dan keadaan ini berbahaya disebabkan hasil pemecahan otot itu akan masuk ke saluran darah dan akan ditapis di hati dan buah pinggang," jelasnya.

Tambah Dr Say Shazril, sekiranya terlampau banyak, ia mampu merosakkan organ-organ penting manusia ini.



Dalam istilah perubatan, kecederaan Amira itu dikenali sebagai Rhabdomyolysis atau kerosakan otot.

Sementara itu, Dr Say Shazril menjelaskan orang ramai tidak perlu bimbang sebaliknya perlu tahu tahap dan kemampuan diri ketika melakukan sesuatu gerakan senaman.

Rahsia ketika bersenam terutamanya bagi yang baharu berjinak-jinak katanya, adalah untuk melakukan sesuatu secara slow and steady.

"Amira sendiri sedar yang dia terlebih push pada hari pertama berbasikal. Kuncinya di sini adalah slow and steady. Janganlah hari pertama anda bersenam terus masuk gear lima.

"Mulakan dengan gear pertama... Apabila rasa badan semakin teguh, tegap dan stabil barulah masuk gear dua," katanya.

Dr Say Shazril turut berpesan mengamalkan gaya hidup sihat diibaratkan sebagai marathon dan bukannya berlumba dalam mencapai sesuatu matlamat.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain