suria

Kaitan probiotik dan kesihatan usus... Ketahui juga 6 soalan lazim mengenainya

Terdapat pelbagai makanan selain suplemen yang mengandungi probiotik.

SIAPA yang tidak pernah minum produk susu kultur, bukan? Ia bukan sahaja dikatakan baik untuk kesihatan usus tetapi mempunyai rasa yang enak sehingga digemari kanak-kanak.

Tetapi tidak ramai mengetahui bahan sebenar terkandung di dalamnya iaitu beberapa spesies bakteria yang secara kelompoknya dinamakan probiotik atau bakteria baik.

ARTIKEL BERKAITAN: Minuman bergas bukan sahaja penyebab diabetes, ketahui 5 penyakit lain yang mengintai kamu!

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjelaskan probiotik ialah mikroorganisma hidup yang apabila diambil dalam kuantiti mencukupi dapat memberi kesan kepada kesihatan seseorang.

Pegawai Farmasi Hospital Shah Alam, Zuhailah Mohd Shafawi berkata, selain susu kultur, probiotik boleh didapati dalam lain-lain jenis makanan yang dijeruk atau ditapai seperti yogurt, keju lembut, jeruk sayur-sayuran dan tempe. Probiotik juga boleh didapati dalam bentuk kapsul sebagai suplemen.



Probiotik cukup baik untuk merawat pelbagai masalah berkaitan usus seperti sembelit dan cirit-birit.

"Banyak kajian telah dan sedang dijalankan untuk menilai manfaat dan keselamatan produk yang mengandungi probiotik terhadap tubuh. Manfaat yang diketahui umum ialah meningkatkan kesihatan usus.

"Bakteria jenis Lactobacillus rhamnosus GG dan Lactobacilus casei DN-114 001 telah dibuktikan berupaya mengurangkan keadaan cirit-birit yang teruk disebabkan oleh rawatan antibiotik dan memendekkan tempoh cirit-birit disebabkan oleh jangkitan rotavirus.

"Streptococcus thermophilus didapati mampu mengurangkan gejala kembung perut, loya dan muntah akibat kurang toleransi terhadap laktosa (sejenis gula semula jadi dalam susu). Beberapa kajian terhadap Lactobacillus casei Shirota pula mendapati bahawa ia dapat meningkatkan sistem pertahanan tubuh," katanya.

Terdapat beberapa soalan lazim mengenai probiotik termasuklah;

1. Adakah produk makanan probiotik selamat untuk wanita hamil atau sedang menyusu?

Ia secara umumnya dianggap selamat untuk diambil semasa hamil dan menyusukan bayi. Bakteria baik kekal dalam sistem penghadaman dan tidak memasuki darah.

Ini bermakna bakteria tersebut tidak akan sampai kepada janin yang sedang membesar atau bayi yang disusukan. Sebaik-baiknya dapatkan nasihat doktor sebelum mengubah atau mengamalkan corak pemakanan.



Pelbagai jenis makanan probiotik.

2. Adakah semua produk makanan probiotik sama?

Tidak. Setiap produk makanan probiotik adalah berlainan dan diformulasi menggunakan jenis dan kuantiti bakteria berbeza.

3. Bolehkah mengambil produk probiotik ketika mengalami cirit-birit disebabkan antibiotik?

Boleh. Cirit-birit disebabkan oleh antibiotik biasanya diakibatkan oleh disbiosis (ketidakseimbangan mikrobiota usus). Kajian telah membuktikan manfaat pengambilan probiotik bagi mengembalikan mikrobiota usus yang normal.

4. Adakah pengambilan produk makanan probiotik memberi kesan sampingan?

Kesan sampingan jarang berlaku dan kebanyakan orang boleh menggunakan probiotik tanpa sebarang masalah. Anda mungkin mengalami kembung perut (flatulens) dan sedikit ketidakselesaan perut sekiranya mengambil lebih daripada dos dicadangkan.

Namun situasi ini biasanya berhenti apabila badan anda mula menyesuaikan diri.

5. Adakah probiotik selamat untuk kanak-kanak dan warga emas?

Ya. Pengambilan produk makanan probiotik secara umumnya selamat untuk semua golongan termasuk kanak-kanak dan warga emas. Rujuk doktor terlebih dahulu jika ingin memberikan probiotik kepada bayi yang sihat.



Probiotik adalah mikroorganisma hidup yang apabila diambil dalam kuantiti mencukupi dapat memberi kesan kepada kesihatan seseorang.

6. Adakah semua makanan dan minuman mengandungi kultur bakteria dianggap makanan probiotik?

Tidak. Untuk menganggap sesuatu makanan sebagai probiotik, ia perlu mematuhi syarat dikhususkan di dalam peraturan makanan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sementara itu, Zuhailah menjelaskan walaupun kajian mendapati probiotik selamat dimakan, pengambilannya mungkin tidak sesuai untuk beberapa jenis penyakit atau keadaan melibatkan sistem pertahanan badan yang lemah.

Secara umumnya, golongan berisiko mendapat apa-apa jenis jangkitan adalah pesakit kanser, penghidap HIV/AIDS, pesakit baru menjalani pemindahan sumsum tulang dan pesakit yang menjalani rawatan steroid jangka panjang.

"Setakat ini, beberapa insiden telah direkodkan dari seluruh dunia berkaitan jangkitan kuman probiotik dalam darah pesakit kanser yang mengambil suplemen probiotik. Kebanyakan kes melibatkan pesakit kanser darah dalam kalangan kanak-kanak dan warga tua," jelasnya.

Oleh itu, pakar-pakar hematologi seluruh dunia sepakat menasihatkan agar pesakit-pesakit kanser yang mengalami neutropenia (kekurangan sel darah putih neutrofil) tidak mengambil apa-apa produk yang mengandungi probiotik.

Ini kerana kata Zuhailah, neutrofil ialah barisan pertama pertahanan badan terhadap jangkitan. Lazimnya pesakit yang baru menjalani rawatan kemoterapi, radioterapi atau pemindahan sumsum tulang akan mengalami penyusutan jumlah neutrofil yang agak ketara.

"Sebagai kesimpulan, probiotik ialah bakteria yang secara umumnya selamat dimakan dan perlu diambil dalam kuantiti yang mencukupi untuk memberi manfaat kepada kesihatan.

"Namun begitu, beberapa keadaan tertentu menjadikan ia berbahaya dan kurang sesuai untuk dimakan," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain