suria

Makan cendawan dengan lebih kerap... Ia terbukti mengurangkan risiko kanser prostat

Cendawan terbukti dapat mengurangkan risiko kanser prostat dalam kalangan kaum lelaki.

SATU kajian di Jepun mendapati memakan cendawan secara kerap boleh mengurangkan risiko seorang lelaki untuk mendapat kanser prostat.

Kajian dilakukan oleh University School of Public Health terhadap 36,499 lelaki di antara umur 40 hingga 79 tahun, meminta mereka menjawab soalan kaji selidik berhubung gaya hidup termasuk diet serta pengambilan cendawan, aktiviti fizikal, merokok dan tabiat pengambilan minuman keras.

ARTIKEL BERKAITAN: Manggis bukan sahaja enak tetapi 4 perkara ini pasti mengejutkan anda!

Responden juga diminta untuk membekalkan maklumat mengenai latar belakang pendidikan, keluarga dan sejarah perubatan.

Para pengkaji mendapati individu yang makan cendawan sekali atau dua kali seminggu mempunyai lapan peratus lebih rendah untuk mendapat kanser prostat - tidak kira berapa banyak sayur dan buah-buahan, daging dan produk tenusu yang mereka ambil.

Pengambilan tiga kali atau lebih cendawan dalam seminggu mengurangkan 17 peratus risiko terkena kanser berbahaya itu dalam kalangan kaum lelaki.

Memakan cendawan dua kali seminggu dapat mengurangkan lapan peratus risiko kanser prostat.

Cendawan juga mempunyai kebaikan kepada lelaki yang berumur 50 tahun ke atas berbanding mereka yang gemar memakan daging, buah-buahan dan sayur-sayuran lain.

Hasil kajian itu turut diterbitkan dalam Journal of Cancer yang diketuai oleh Dr Zhang Shu.

"Kajian yang dibuat terhadap organisma hidup menunjukkan cendawan mempunyai potensi untuk mengelakkan kanser prostat.

"Bagaimanapun hubungan di antara pengambilan cendawan dan kanser prostat dalam kalangan manusia tidak pernah dibuat sebelum ini. Ini adalah kali pertama dibuat," kata Dr Zhang.

Dr Zhang memberitahu cendawan adalah sumber vitamin, mineral dan antioksidan yang dipercayai boleh melawan tekanan oxidative iaitu ketidakseimbangan disebabkan pilihan cara hidup termasuk diet dan pendedahan terhadap toksin.

Ketidakseimbangan ini boleh menyebabkan kepada beberapa masalah lain termasuk mengakibatkan kanser.

"Meskipun kajian menunjukkan pengambilan cendawan mampu mengurangkan risiko kanser prostat, namun sebaiknya amalkan pemakanan sihat dan seimbang," katanya.

Cendawan, Kanser Prostat, Perubatan

Artikel Lain