suria

Jamu orang berbuka, pahala menyamai orang berpuasa! Ini checklist 5 amalan menjelang 10 hari terakhir Ramadan

Menjamu orang berbuka puasa merupakan salah satu amalan yang menjanjikan ganjaran pahala berlipat ganda. Gambar hiasan

PEJAM celik, sudah 20 hari kita berpuasa.

Ini bermakna kita sedang memasuki fasa terakhir Ramadan, di mana pada 10 hari terakhir bulan mulia ini, umat Islam diseru melipatgandakan amalan masing-masing.

Tambahan pula Allah menjanjikan terdapat satu malam yang amat bermakna dalam tempoh tersebut iaitu malam Lailatul Qadar, yang disebut kemuliaannya menyamai 1,000 bulan.

Rugilah sekiranya umat Islam tidak mengambil peluang untuk melipatgandakan amalan bagi merebut ganjaran yang dijanjikan.

Sebagai panduan bersama, ini senarai beberapa amalan yang boleh dilakukan dan digandakan sepanjang 10 malam terakhir Ramadan sebagaimana yang dikongsikan oleh bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

1. Melakukan qiyam

Qiyam yang dimaksudkan di sini ialah dengan menghidupkan malam hari di bulan Ramadan dengan beribadah kepada Allah SWT lebih-lebih lagi di 10 malam yang terakhir di mana di dalamnya terdapat malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan.

Dalam bulan Ramadan, kita disunatkan untuk menunaikan solat sunat yang dikenali dengan solat tarawih secara berjemaah ataupun bersendirian. Terdapat sebuah hadis yang menceritakan tentang ganjaran bagi mereka yang menunaikan qiyam. Hal ini adalah sepertimana sabda Rasulullah SAW:

"Sesiapa yang solat qiyam bersama imam sehingga selesai, maka Allah telah memberikannya ganjaran qiyam sepanjang malam" [Riwayat al-Tirmizi (806), al-Nasa'i (1605) dan Ibn Majah (1327)]

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

"Sesiapa yang melakukan qiyam Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran serta keampunan, akan diampunkan buatnya dosa-dosa yang terdahulu" [Riwayat al-Bukhari (37) dan Muslim (759)]

puasa 2

Umat Islam digalakkan memperbanyakkan bacaan al-Quran lebih-lebih lagi di 10 akhir bulan Ramadan. Gambar hiasan

2. Memperbanyakkan bacaan al-Quran

Pada bulan Ramadan ini juga terdapat peristiwa agung iaitu peristiwa turunnya al-Quran yang menjadi sumber hidayah dan petunjuk buat sekalian umat manusia.

Firman Allah SWT:

"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah" (Surah al-Baqarah: 185)

Justeru, kita mengetahui bahawa amalan membaca al-Quran pahalanya dilipatgandakan oleh Allah SWT. Pada masa yang sama, kita juga mengetahui bahawa semua amal kebajikan di bulan Ramadan turut dilipatgandakan oleh Allah SWT.

Maka sebaiknya, kita perbanyakkan bacaan al-Quran lebih-lebih lagi di 10 akhir bulan Ramadan. Moga-moga ia dapat memberatkan neraca amalan kebaikan kita.

ARTIKEL BERKAITAN: Rebutlah peluang di akhir Ramadan, lakukan 5 amalan ini untuk rahmat Lailatul Qadar

3. Bersedekah dan infaq

Bulan Ramadan juga adalah merupakan bulan di mana kita digalakkan untuk memperbanyakkan sedekah dan infaq. Terdapat sebuah hadis riwayat daripada Ibn 'Abbas R.Anhuma:

"Nabi SAW adalah manusia yang paling pemurah. Kemuncak sifat pemurahnya di bulan Ramadan, ketika Jibril bertemu dengan Baginda SAW. Adapun Jibril AS menemuinya pada setiap malam bulan Ramadan dan saling bertadarus al-Quran dengan Baginda. Sungguh Rasulullah SAW sangat pemurah dalam hal kebaikan daripada angin yang bertiup kencang"

Hadis ini turut menjadi dalil betapa pemurahnya Nabi SAW dan betapa rajinnya Nabi SAW bersedekah pada bulan Ramadan.

Dinyatakan dalam hadis, yakni Rasulullah SAW menjadi lebih pemurah daripada hembusan angin adalah kerana Baginda sangat cepat dan ringan dalam memberi.

Ia juga sebagai isyarat kepada berterusannya rahmat dan umumnya manfaat disebabkan oleh sifat pemurahnya Nabi SAW. (Lihat Irsyad al-Sari, 1/72)

Banyaknya Nabi SAW bersedekah pada bulan Ramadan menunjukkan bahawa bersedekah pada bulan ini terdapat kelebihannya yang tersendiri. Dalam sebuah hadis riwayat Anas R.A menyebutkan:

"Ditanyakan Nabi SAW puasa apakah yang terbaik selepas Ramadan? Jawab Nabi SAW, puasa di bulan Syaaban untuk mengagungkan Ramadan. Ditanya lagi sedekah apakah yang paling afdal. Jawab Nabi SAW, sedekah di bulan Ramadan"

Justeru, banyakkanlah sedekah dan infaq dalam bulan Ramadan khususnya di 10 hari terakhir Ramadan ini, antaranya kepada tabung masjid, anak-anak yatim, fakir miskin, orang-orang tua, ibu bapa, kaum keluarga dan lain-lain.

puasa 3

Kita sewajarnya mencontohi amalan Rasulullah SAW di mana baginda sering melakukan iktikaf pada bulan Ramadan. Gambar hiasan

4. Menjamu orang berbuka puasa

Kita sebagai umat Islam digalakkan untuk mengikuti satu sunnah baginda SAW iaitu memberi makan orang yang berpuasa.

Galakan untuk memberi makan orang yang berpuasa ini adalah perkara yang thabit (kukuh) daripada hadis Nabi Muhammad SAW. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Khalid al-Juhani R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

"Siapa yang menyediakan makanan berbuka buat orang yang berpuasa, maka dia mendapat pahala seperti orang yang berpuasa itu dan tidak dikurangkan sedikit pun dari pahala orang yang berpuasa itu" [Riwayat al-Tirmizi (807)]

Imam al-Munawi menjelaskan bahawa memberi makan orang yang berpuasa di sini boleh jadi dengan makna hidangan makan malam yang lengkap, atau dengan kurma. Jika tidak mampu dengan itu, maka boleh juga dengan seteguk air. (Lihat Faidh al-Qadir, 6/187)

5. Iktikaf

Terdapat banyak riwayat yang menjelaskan akan keutamaan beriktikaf, antaranya riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma di mana beliau berkata:

"Rasulullah SAW biasa beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadan" [Riwayat al-Bukhari (2025)]

Marilah kita sama-sama berazam dan bertekad untuk memanfaatkan malam-malam yang berbaki di bulan Ramadan ini dengan mengisinya dengan ketaatan dan ibadah kepada Allah SWT.

Semoga kita berjaya dan dikurniakan ketaqwaan serta keampunan dari-Nya. Amin.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain