suria

Jadilah generasi al-Quran yang unik, bukan sekadar baca dan hafal tapi amalkannya dalam setiap aspek kehidupan

Sifat mencintai al-Quran perlu ditanam dalam diri anak-anak ketika mereka masih kecil. Gambar hiasan

SEDAR tak sedar, kita sudah berada di tanggal 17 Ramadan.

Setiap tahun, umat Islam di serata dunia akan menyambut satu peristiwa besar dan penting dalam sejarah kewujudan dan penyebaran agama Islam itu sendiri iaitu peristiwa turunnya kitab suci al-Quran.

Peristiwa berkenaan yang juga lebih dikenali oleh umat Islam sebagai 'Nuzul al-Quran' merupakan peristiwa turunnya ayat al-Quran yang pertama kepada Nabi Muhammad SAW, yang diturunkan secara berperingkat-peringkat sehingga menjadi lengkap sebagaimana naskhah seperti yang kita kenali pada hari ini.

Perkataan 'Nuzul' bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah.

Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad SAW ketika baginda sedang beribadat di Gua Hira' berhampiran dengan kota suci Makkah.

Kitab suci al-Quran merupakan satu kitab panduan hidup untuk manusia dan rujukan utama umat Islam di serata dunia, di samping sunnah Rasulullah SAW.

Sukar untuk membayangan keadaan umat Islam dan seluruh kehidupan manusia itu sendiri tanpa adanya kitab suci al-Quran.

Kitab ini adalah kitab mukjizat yang menunjukkan hidayah, membawa rahmat, menjadi nasihat dan penawar kepada penyakit rohani dan jasmani khususnya kepada umat Islam yang beriman.

quran 2

Kitab suci al-Quran telah menjadi kitab teragung sepanjang zaman.

Allah SWT berfirman:

"Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran daripada Tuhan kamu, menjadi penawar bagi penyakit batin yang ada di dalam dada kamu dan menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan serta membawa rahmat bagi orang beriman" (Surah Yunus: Ayat 57)

Allah SWT juga berfirman:

"Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur daripada al-Quran ayat suci yang menjadi penawar serta rahmat bagi orang yang beriman kepada-Nya dan (sebaliknya) al-Quran tidak menambahkan orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua" (Surah al-Isra’: Ayat 82)

Kitab suci al-Quran telah menjadi kitab teragung sepanjang zaman.

Generasi sahabat yang bersama Rasulullah SAW sering digelarkan sebagai 'generasi al-Quran yang unik'.

Keunikannya adalah kerana mereka mengamalkan segala apa yang ada dalam kitab suci al-Quran dan bukan hanya sekadar membaca dan menghafalnya.

Bagi umat Islam yang benar-benar menghayati kitab suci ini, al-Quran Kalamullah bukan sekadar pusaka peninggalan Rasulullah SAW semata-mata.

Mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW yang diturunkan secara berperingkat dan diamanahkan supaya umat manusia dapat mengenalinya, mempelajarinya, menghayati, mendalami dan seterusnya mengamalkan segala yang terkandung di dalamnya.

quran 3

Al-Quran merangkumi pelbagai aspek kehidupan seperti pendidikan, hubungan kekeluargaan, hubungan dalam masyarakat, dan sebagainya.

Melalui kitab suci al-Quran, kita dapat mempelajari sejarah silam kehidupan manusia di masa lampau dan ia menjadi panduan dan bimbingan kepada kehidupan kita semua pada masa kini.

Kitab suci al-Quran juga mendedahkan kita semua mengenai pelbagai aspek kehidupan seperti pendidikan, hubungan kekeluargaan, hubungan dalam masyarakat, sains, politik, agama, undang-undang atau hukum, politik, pentadbiran, ekonomi, pengurusan harta, kesihatan, perubatan, tatatertib (akhlak) dan lain-lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Sengaja biar saf terputus, jemaah wanita selesa solat berkelompok gara-gara kipas dan aircond... Fahami adab dalam sembahyang

ARTIKEL BERKAITAN: Ayat ringkas, mudah nak hafal... ini 10 surah pendek boleh dibaca dalam solat tarawih

Oleh yang demikian, kita harus mengubah tanggapan bahawa kitab suci al-Quran diturunkan hanya untuk dibaca dan dihafal.

Turunnya kitab suci al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW bertujuan supaya umat Islam dapat mengenalinya, mempelajarinya, memahaminya dan mendalami segala panduan dan perintah yang termaktub di dalamnya serta mengamalkannya.

Dengan terdapatnya pelbagai aspek atau perkara yang dibawa melalui kitab suci al-Quran ini, ia sekali gus menjadikan kitab ini sebagai sebuah kitab yang unik serta membawa pelbagai jenis manfaat bukan sahaja terhadap umat Islam malah kepada semua umat manusia di serata dunia.

Adalah penting untuk diketahui, segala bentuk panduan, bimbingan dan manfaat yang dibawa melalui kitab suci al-Quran ini hanya dapat diperolehi dan dihayati sekiranya kita dapat memahami segala isi kandungan yang dibawa di dalam kitab ini serta mengamalkan segala perkara yang telah dinyatakan di dalam kitab suci terbabit dalam kehidupan seharian kita.

Segala bentuk panduan, bimbingan dan manfaat yang dibawa melalui kitab suci al-Quran tidak dapat dinikmati oleh kita semua sekiranya kita hanya memberi tumpuan sepenuhnya pada aspek bacaan dan hafalan semata-mata.

Photo_Dr. Muzaffar Syah Mallow (1)

Dr Muzaffar Syah Mallow.

Adalah penting bagi umat Islam menghargai kurniaan terbesar yang telah diberikan oleh Allah SWT ini dengan mengenalinya, mempelajarinya, memahaminya dan mendalami kitab suci berkenaan secara terperinci serta mengamalkannya dan bukan hanya sekadar membaca dan menghafalnya sahaja.

Untuk mengenali, mempelajari, memahami dan mendalami kitab suci al-Quran, adalah penting untuk kita faham mengenai segala maksud, makna atau intipati dan serta tafsiran yang ingin disampaikan melaluinya.

Perkara ini adalah penting kerana kitab al-Quran itu sendiri telah diturunkan dalam bahasa Arab manakala umat Islam dan manusia secara keseluruhan itu sendiri adalah terdiri daripada pelbagai bangsa yang mempunyai bahasa mereka sendiri.

Tidak semua manusia dapat memahami bahasa Arab dengan fasih serta dengan sempurna.

Adalah mustahil untuk umat Islam ataupun mana-mana umat manusia yang tidak terdiri daripada bangsa Arab untuk memahami dengan sempurna segala maksud dan makna yang terdapat di dalam kitab suci al-Quran itu tanpa mempelajari bahasa Arab ataupun mendapatkan bantuan daripada mereka yang betul-betul pakar dalam bidang tafsir dan ilmu berkaitan dengan al-Quran.

Walaupun apa-apa kesukaran yang dialami, segala usaha untuk mengenali, mempelajari, memahami dan mendalami apa yang telah dinyatakan di dalam kitab suci al-Quran haruslah dilakukan oleh semua umat Islam serta bagi mana-mana umat manusia yang ingin mendapatkan panduan, bimbingan serta manfaat daripadanya.

***Dr Muzaffar Syah Mallow ialah Pensyarah Fakulti Syariah & Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain