suria

Malu nak mohon ampun kerana kerap buat dosa? Jangan risau kasih sayang Allah tidak terbatas

Selalulah memohon kepada Allah agar sentiasa memberikan hidayah dan taufiqNya kepada kita untuk menjadi orang yang bertakwa.

PERNAHKAH kita merasai diri ini sangat tidak berguna ketika diuji dalam kehidupan?

Adakalanya perkara ini sangat membebankan sehingga kita menyangka terdapat satu titik dalam kehidupan bahawa segala yang berlaku semuanya kelihatan salah hingga terbit rasa kehilangan dan muncul perasaan putus asa.

Justeru, sumber kekuatan utama yang perlu ada adalah kebergantungan dan keyakinan kita kepada Allah SWT.

Pada ketika itu, jangan malu untuk menunjukkan kelemahan diri kepada Allah kerana Allah jua yang akan membantu kita untuk mengubahnya menjadi kekuatan.

Baiki hubungan dengan Allah

Setiap manusia perlu meletakkan kefahaman pada diri bahawa hakikat manusia hidup di dunia ini akan sentiasa diuji tidak kira orang baik mahupun orang yang jahat.

Orang yang taat pada Allah diuji, orang yang derhaka dengan perintah Allah juga turut diuji.

Perkara pertama yang boleh dilakukan adalah kita perlu mengenal Allah dengan lebih yakin. Peringkat pertama, kita boleh membaiki hubungan dengan Allah melalui memohon keampunan atas segala dosa yang dilakukan supaya amal bakti diterima Allah.

addin 1

Perbaiki hubungan dengan Allah melalui memohon keampunan atas segala dosa yang dilakukan supaya amal bakti diterima Allah.

Tiga syarat yang perlu ditempuh dalam membersihkan dosa ialah menyesal atas dosa yang dilakukan, meninggalkan perbuatan maksiat itu dan bersungguh-sungguh tidak akan mengulanginya lagi.

Mungkin terdapat persoalan adakah Allah akan mengampuni dosa orang yang kerap kali melakukan kesalahan yang sama walaupun sebelum ini telah memohon taubat padaNya?

Wujud juga rasa bimbang jika Allah tidak lagi mengampuni dosa yang dilakukan berulang kali.

ARTIKEL BERKAITAN: Hati-hati bersembang tentang syarak, berdosa kalau salah jatuh hukum ikut hati

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai terlepas pandang, perkara ini haram dilakukan oleh wanita hamil selain tayang ‘baby bump’

Jawapannya terdapat dalam surah Al-Zumar pada ayat 53 (maksudnya): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani].

Ayat ini menunjukkan kasih sayang dan cinta Allah pada hambaNya adalah cinta yang tidak terbatas.

Hakikat dan besarnya cinta Allah tidak mampu hendak disamakan dengan kasih sayang sesiapa pun. Firman Allah dalam surah al-A’raf ayat 156 (maksudnya): [RahmatKu (kasih sayang) meliputi tiap-tiap sesuatu].

Teruslah beribadat kepada Allah sehingga diri ini dapat merasai kenikmatan cinta pada Allah. Cinta yang menjadikan seseorang itu merasa kebesaran Allah, perasaan selalu teringat dalam fikiran sehingga terbitnya rindu pada Allah dan menjadikan hati terus meredai takdir yang telah menjadi ketentuan serta mensyukuri nikmat yang dikurniakan.

Kesungguhan dalam menjaga hubungan dengan Allah

Proses membersihkan diri daripada dosa dan mendapatkan cinta Allah juga tidak terlepas daripada beberapa bentuk ujian. Ujian yang dimaksudkan adalah halangan ketika beribadah dan melaksanakan perintah Allah.

Halangan boleh terjadi dalam bentuk dunia dan nafsu yang mengajak kepada kejahatan.

Apabila hati terpaut dengan dunia, kesannya diri mula lalai untuk melakukan ibadah dan berbuat kebaikan. Kita perlu kuat melawan perasaan cintakan dunia hingga mendapatkan zuhud di dalam diri.

Seseorang yang zuhud, hatinya sama sekali tidak akan terpaut dengan dunia malahan tidak berasa susah hati jika segala nikmat dunia ini hilang kesemuanya. Berpegang teguh dengan firman Allah dalam surah al-Hadid ayat 20 (maksudnya): [Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya].

Persoalan mula timbul apabila hati menjadi bolak balik dalam memikirkan keadaan kehidupan di dunia tentang rezeki, khuatir tentang masa hadapan dan apa yang berlaku di masa tua nanti. Soal hati bukan sesuatu yang mudah, dan pelbagai perasaan boleh muncul tanpa kehendak daripada kita.

Perkara ini mula menjadi penghalang untuk beribadah kerana apabila kita asyik memikirkan dan memberi penumpuan untuk mencari rezeki serta hal-hal keduniaan.

Cara menghadapinya dengan banyak bertawakal kepada Allah setelah berusaha dan berbaik sangka kepadaNya.

Selepas kita berusaha dan berikhtiar, kita serahkan kejayaannya kepada Allah. Tanamkan dalam diri bahawa Allah yang menentukan masa depan, mengetahui apa yang berlaku dan mentadbir dalam kehidupan seharian kita.

addin 3

Teruslah beribadat kepada Allah sehingga diri ini dapat merasai kenikmatan cinta pada Allah.

Perkara yang baik kita syukuri manakala jika sebaliknya kita sabar untuk menghadapinya. Dengan itu mudah-mudahan hilanglah rasa susah hati yang bermain dalam diri.

Seterusnya, nafsu yang mengajak kepada kejahatan juga sentiasa akan menghalang diri untuk melakukan kebaikan.

Firman Allah dalam surah Yusuf ayat 53 (maksudnya): [Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu)].

Mengekang nafsu perlu kepada sifat taqwa yang kuat kepada Allah. Taqwa adalah takut kepada Allah yang merupakan perasaan yang datang dalam hati seseorang.

Sebagai contoh, perasaan takut apabila terkenang tentang azab Allah yang Maha dahsyat dan akan mendorong kita untuk beramal dan meninggalkan laranganNya.

Untuk melawan nafsu yang mengajak kepada kejahatan bukan suatu yang mudah dan ianya merupakan satu jihad yang besar. Setiap orang memerlukan keazaman yang kuat untuk membersihkan jiwa, sanggup bersusah payah membuat perubahan diri walaupun terpaksa menempuh kesusahan dan derita jiwa.

Apabila keinginan nafsu mula membuak untuk melakukan perkara yang tidak baik, kita perlu sedar hakikat dan cepat mengingatkan hati supaya sabar. Walaupun keadaan hati ketika itu merasa sakit dan tidak puas hati, sematkan dalam diri moga dengan kesabaran ini akan meningkatkan lagi kasih sayang Allah dan darjat keimanan.

Firman Allah dalam surah al-Ankabut ayat 69 (maksudnya): [Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya].

Ini adalah sebahagian perjuangan yang boleh dilakukan dalam usaha menjaga hubungan dengan Allah. Perbaiki diri dan melakukan perkara yang disukai Allah dan meninggalkan laranganNya.

Memohon dan berserah diri pada Allah

Usaha yang kita lakukan sama sekali tidak memberi kesan tanpa Qudrat (berkuasa) Allah yang menjadikan atau menidakkan, mengubah tiap makhluknya. Allah jua yang mengatur dan mentadbir segala perjalanan alam dan hal ehwalnya.

Kita perlu fahami Allah yang menentukan nasib kehidupan kita. Oleh itu, setelah berusaha kita perlu selalu memohon kepada Allah agar sentiasa memberikan hidayah dan taufiqNya kepada kita untuk menjadi orang yang bertakwa.

Memohon agar Allah jauhi segala perbuatan dosa dan maksiat daripada kita. Yakinlah bahawa Allah sangat dekat dengan hambaNya yang sentiasa memohon dan meletakkan kebergantungan hanya padaNya.

Semoga kita sentiasa menjadi hamba yang bertawakal dan berserah diri dalam apa jua perkara.

***Mohamad Faizal Abd Rahman (Jabatan Usuluddin, Fakulti Pengajian Islam dan Sains Sosial, Universiti Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, Perak)

Artikel Lain