suria

Wajah pengantin tak naik seri, risau jadi bahan umpatan... proses nak cantik bukannya 2 minggu atau 2 bulan tapi setahun!

Setahun bukanlah satu masa yang lama, malah pengantin dinasihatkan agar membuat persediaan lebih awal bagi menaikkan seri wajah di hari bahagia. FOTO: Syazana Shukur.

DALAM meraikan hari bahagia, semua pengantin perempuan mahu tampil jelita.

Biarpun segala cela boleh ditutup dengan solekan, seri pada wajah pastinya akan menaikkan lagi aura seseorang pengantin.

Apa pula kata tetamu nanti jika wajah pengantin kelihatan kusam tak bermaya? Malah ada pengantin yang risau sekiranya mereka menjadi bahan umpatan orang ramai.

Dalam Pesona Cinta minggu ini, mStar ingin berkongsi beberapa tips mudah buat bakal pengantin.

Namun harus diingat, kulit muka merupakan bahagian pada tubuh yang sensitif, jadi prosesnya juga pasti memakan masa lama.

Sebolehnya, bakal pengantin perlu menjaga wajah setahun lebih awal sebelum tibanya tarikh hari bersejarah.

12 bulan sebelum majlis

Adakah anda rasa 12 bulan sebelum majlis itu terlalu awal? Jawapannya TIDAK!

Bagi sesetengah jenis kulit, ia memakan masa yang lama untuk proses pemulihan.

Misal kata pengantin mahu mencerahkan kulit, memudarkan parut jerawat mahupun menghilangkan jeragat, ia pastinya tidak boleh dilakukan dalam tempoh dua minggu atau dua bulan.

Pasti ada dalam kalangan pengantin yang risau sekiranya wajah dan penampilan mereka menjadi bahan umpatan tetamu. (Foto:Syazana Shukur)

Apabila bercakap mengenai seri wajah pengantin juga, ia bukan semata-mata pada wajah, namun melibatkan seluruh anggota tubuh badan.

Bakal pengantin boleh melakukan senaman secara berkala, mengikuti diet sihat dan boleh juga jalani urutan tubuh.

Tubuh yang sihat pastinya akan mengalirkan aura positif sehingga dapat menaikkan seri wajah di hari bahagia.

6 bulan sebelum majlis

Seperti masih banyak masa lagi, namun enam bulan terakhir biasanya cukup memberi tekanan buat pengantin.

Malah, banyak persiapan yang belum dilengkapkan akan membuatkan pengantin sakit kepala sehingga terlupa dan mengabaikan diri sendiri.

Selain penjagaan wajah, pengantin juga boleh melakukan senaman dan diet pemakanan untuk tampil menarik di hari bahagia. (Foto: Syazana Shukur)

Dalam fasa ini, pengantin dinasihatkan agar meneruskan diet sihat seperti mengurangkan pengambilan gula dan minuman manis.

Menurut laman sesawang kecantikan Kama Ayurveda, pengantin dinasihat agar mengelakkan pengambilan makanan seperti keropok kentang, cokelat, aiskrim mahupun soda, sebaliknya banyakkan pengambilan buah-buahan, sayur dan protein.

Malah, digalakkan juga mengamalkan air kelapa, air limau dan teh hijau.

Pada peringkat ini juga, sesuai untuk bakal pengantin menjalani rawatan wajah (facial) secara bulanan di spa jika memiliki kemampuan kewangan.

Amat penting untuk melakukan deep cleansing untuk menjadikan wajah lebih bersedia sebelum disolek pada hari bahagia nanti.

3 bulan sebelum majlis

Selain mendapatkan tidur yang cukup sekitar lapan jam sehari, bakal pengantin digalakkan melakukan double cleansing pada wajah pada waktu malam.

Pengambilan buah-buahan dan sayur juga penting untuk kesihatan dan kecergasan bakal pengantin.

Dengan segala habuk, debu dan kotoran sepanjang hari, wajah pengantin pada ketika ini harus diberi perhatian serius.

Dalam fasa ini juga, elakkan produk wajah yang mengandungi bahan kimia, sebaliknya pilih produk yang bersifat semulajadi dan organik.

Yang penting, proses untuk cantik bukan mudah, malah ia bukan berfokus pada kawasan wajah sahaja.

Cantik dalam, cantik luar... semuanya memerlukan pengorbanan masa dan tenaga.

Tapi, apa salahnya berkorban sedikit demi hari bahagia?

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain