suria

Restoran Kukus saji ubi kayu rebus cicah sambal ala-ala Ahmad Maslan... Nak cuba tongmo bakar pun ada!

Ubi kayu rebus dan sambal menjadi tarikan restoran ini.

BARU-BARU ini tular di Twitter ciapan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan yang membuat kejutan untuk rakan-rakan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Dalam hantarannya itu, beliau berkongsi menu berupa ubi kayu rebus, sambal dan ikan kering yang dihidangkannya kepada Ahli Parlimen di bawah blok Kerajaan Perpaduan sebagai juadah minum petang.

"Di Dewan Rakyat saya belanja rakan-rakan Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan makan tengah hari dan minum petang.

"Antara menu ialah ubi kayu rebus, sambal dan ikan kering," ujar Ahmad dalam ciapannya.

Ciapan asal Ahmad Maslan di Twitter.

Ciapan tersebut mengundang perhatian ramai kerana hidangan ringkas seperti itu kini sukar untuk didapati di gerai-gerai makan biasa.

"Dekat Kedah ada juadah ni, tapi berbeza sikit sebab tok wan saya selalu hidang dengan gula. Bayangkan suasana pagi tepi bendang dengan hujan renyai-renyai sambil duduk bawah beranda.

"Pekena kopi O panas Cap Gantang, ubi rebus cicah gula, lepas tu tok wan main seruling, fuh syahdu," imbas sebahagian warga maya mengenai keasyikan menjamah hidangan itu.

Namun bagi sesiapa yang kepingin untuk merasai juadah ubi kayu rebus cicah sambal seperti yang dihidangkan Ahmad di Parlimen, ayuh kita ke Restoran Kukus di Klang, Selangor.

Ubi kayu rebus bersama sambal ikan bilis yang dihidangkan di Restoran Kukus.

Restoran Kukus adalah sebuah kedai makan yang sepertinya diputarkan ke masa lalu kerana suasana sekitar premis dihiasi barangan antik seperti mesin taip, bahan bacaan lama dan basikal retro.

Selain itu karya muzik Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee juga dimainkan sepanjang masa di corong radio untuk menggamit nostalgia pengunjung Restoran Kukus.

Bercerita kepada mStar, Hanif Ahmad Bihauddin berkata perusahaan restorannya bermula tujuh tahun lalu apabila dia memiliki sebuah kedai papan kayu yang sudah tidak lagi digunakan.

ubi 5

Nilai estetika diketengahkan di Restoran Kukus.

"Daripada kedai papan yang agak usang itu la kami mula dapat idea untuk set-up restoran ni macam ala-ala suasana kampung sikit. Barang-barang lama itu ada yang kami punya sendiri dan ada yang pelanggan bagi.

"Saya usahakan restoran ni dengan isteri. Kami memang plan nak jual sesuatu yang kedai lain tak ada. Sebab tu kalau tengok menu kami ada beberapa hidangan yang 'eksotik' dan jarang nampak.

"Antaranya ialah ubi rebus cicah sambal bersama kelapa parut yang digaul gula. Lempeng pun boleh makan macam ni juga. Makanan tradisi ni dah makin kurang sekarang," kata Hanif yang pernah bekerja sebagai pereka grafik.

Ketika ditanyakan mengenai asal-usul hidangan ubi rebus dicicah sambal itu, Hanif berkata ia adalah makanan masyarakat dahulu.

Teh tarik tiga lapis disajikan bersama ubi kayu rebus.

"Orang-orang kita dulu termasuk saya dan isteri memang selalu makan ubi kayu rebus sebab murah. Jadi apabila kami mula buka Restoran Kukus ni, memang dah terlintas dalam fikiran untuk masukkan hidangan ni dalam menu.

"Cara nak buat hidangan ubi kayu rebus ni senang sangat sebenarnya. Mula-mula kupas kulit ubi kayu dan kemudian rebus macam biasa sampai dia lembut. Kemudian boleh tapis air dia.

"Sambal tu pula ialah sambal ikan bilis yang macam kita makan dengan nasi lemak tu. Alhamdulillah, hidangan ubi kayu rebus ni dapat sambutan daripada pelanggan, kedai lain tak banyak jual," kata Hanif.

Set Tempoyak Patin Temerloh.

Menurut Hanif, restorannya dinamakan 'Kukus' kerana mempunyai nasi kukus sebagai santapan utamanya.

"Main dish kami ialah nasi kukus dan lauk yang akan datang sekali antaranya ayam masak kunyit, asam pedas patin tempoyak dan tempoyak patin Temerloh. Kami jual ni daripada pagi sebab ada pelanggan makan ni sebagai sarapan.

"Makanan sarapan pun kami ada juga, Selain dari ubi kayu rebus dan lempeng, kami ada sediakan roti kukus kari kaki ayam dan roti bakar telur. Teh tarik kami pun ramai yang cari.

Tongmo merupakan antara daya tarikan utama di Restoran Kukus.

"Patin tempoyak tu resepi saya bawa sendiri sebab saya orang asal Temerloh dan ayam masak kunyit tu pula resepi yang diturunkan daripada mak saya," ujar Hanif.

Hanif seterusnya mengatakan antara makanan yang menjadi 'kegilaan' pelanggannya adalah Tongmo.

"Tongmo ni favourite saya sejak dulu sebab tu saya jual dekat kedai saya. Tongmo ni ialah usus lembu dan dalamnya dimasukkan isi daging yang dah diperap dengan rempah. Kemudian ia akan dipanggang.

"Tongmo ni makanan asal dari Kemboja. Makanan ni nampak macam sosej sikit. Tongmo ni susah nak jumpa dekat kedai lain dan antara tarikan utama Restoran Kukus," ujarnya

Restoran Kukus

Lokasi: Lot 1004, Jalan Tepi Sungai 6, 41100 Klang, Selangor

Waktu operasi: Dibuka setiap hari kecuali Rabu dari 9:30 pagi hingga 3:30 petang.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain