suria

Laksa pun boleh buat gaduh... Ada 7 jenis laksa di Malaysia, pilih saja ikut citarasa sendiri!

Laksa Nyonya antara yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia.

PERANG laksa meletus dalam kalangan netizen sejak minggu lalu sehingga ramai mengeluarkan pelbagai hujah mengenai juadah kegemaran rakyat Malaysia itu.

Tapi sebenarnya, adakah kita benar-benar kenal dan tahu mengenai pelbagai jenis laksa yang terdapat di negara ini?

ARTIKEL BERKAITAN: Taco Bell buka cawangan pertama di Malaysia, ketahui 5 fakta menarik mengenainya

Sebenarnya terdapat pelbagai jenis laksa yang bukan sahaja asasnya menggunakan ikan dan mempunyai rasa menyengat tetapi ia juga boleh datang dalam kuah berempah serta beraroma menggunakan santan.

Kedengaran mudah? Tidak. Setiap negeri di Malaysia mempunyai versi laksa mereka yang tersendiri namun satu persamaan, ia disukai oleh semua orang.

Berikut adalah beberapa jenis laksa yang mungkin tidak anda ketahui.

1. Laksa Penang

Antara laksa yang paling popular adalah laksa Penang yang mana kuahnya diperbuat menggunakan pelbagai jenis ikan dan menjadikan kuahnya ringan dan masam.

Tambahan nanas dan petis udang, memantapkan lagi rasanya yang membuatkan semangkuk tak cukup!

2. Laksa Utara

Secara dasarnya, Laksa Utara dengan Laksa Penang tidak banyak perbezaan namun terdapat beberapa elemen yang boleh membezakannya.

Laksa Perak: Kuahnya lebih nipis dan berair selain menggunakan mi berasaskan gandum.

Laksa Kedah: Menggunakan belacan dan daun selom sebagai hiasan bersama timun, hirisan bawan dan limau kasturi.

Laksa Perlis: Menggunakan daun selom dan daun putat yang memberi aroma dan rasa berbeza pada kuahnya.

3. Laksa Johor

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Tidak seperti laksa yang menggunakan mi berasaskan beras atau gandum, laksa Johor menggunakan spaghetti selain kuahnya yang pekat dan terdapat pelbagai bahan lain seperti herba, rempah dan campuran sayuran segar.

4. Laksam (Kelantan)

Apa membezakan laksam dengan laksa-laksa di negeri lain, ia menggunakan mi kukus yang diperbuat daripada campuran tepung gamdun dan tepung beras.

Kuahnya yang berwarna putih hasil daripada penggunaan santan turut menggunakan pelbagai jenis ikan yang memberi rasa lemak kepada kuahnya.

Ia bertambah sedap jika dimakan bersama ulam-ulaman dan sedikit sambal belacan.

5. Laksa Terengganu

Siapa kata Terengganu tiada laksa? Ia lebih kurang sama dengan laksam tetapi ia menggunakan mi yang diperbuat daripada tepung gamdum.

6. Laksa Nyonya (Melaka)

Laksa Nyonya mungkin tak menggunakan ikan, tetapi rasa lemak daripada santan berserta bahan-bahan lain digunakan membuatkan ia cukup menyelerakan.

Biasanya ia dimakan bersama mi kuning tetapi ramai juga menukarnya dengan bihun yang lebih halus.

7. Laksa Sarawak

Bagi yang pernah merasai keenakan Laksa Sarawak, anda pasti tahu bahawa ia berlainan daripada semua jenis laksa yang terdapat di Semenanjung Malaysia.

Rasanya yang berherba dan berempah memberikan pengalaman berbeza dan sukar untuk jumpa Laksa Sarawak yang benar-benar sedap di Semenanjung.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain