suria

Pelancong lawat lokasi rare di Bali! Saksikan tradisi pemakaman unik di Desa Terunyan, mayat dibiar sampai reput

Tradisi pemakaman unik dapat disaksikan di Kuburan Terunyan. Foto: Twitter @inndeana.

BALI, Indonesia merupakan destinasi pelancongan terkenal yang kaya dengan panorama alam serta budaya yang unik.

Selain kehijauan sawah padi, pemandangan laut biru serta bukit-bukau sering menjadi buruan lensa para pelancong yang berkunjung ke sana.

Namun, seorang individu dikenali sebagai Indiana Indah memilih lokasi yang berbeza sewaktu berkunjung ke sana baru-baru ini..

Menurut Indiana, dia pergi ke Bali untuk menyaksikan sendiri tradisi pemakaman unik di sebuah perkampungan dikenali sebagai Desa Terunyan.

"Apa yang unik di sini adalah ada tiga jenis pemakaman, tapi yang special adalah mayat dibiarkan sahaja, tidak ditanam atau dibakar, diletakkan di hutan dan mereput.

Dt3

Pengunjung juga terikat dengan beberapa peraturan sepanjang lawatan mereka ke kuburan itu.

"Ada syaratnya iaitu kena kematian semula jadi, bukan kemalangan atau bunuh diri. Mayat akan diletakkan di sini. Ada 11 (mayat) sahaja.

"Paling kiri sekali adalah yang paling lama meninggal dan kanan adalah paling baru. Memang tak ada bau busuk langsung atau ulat. Ada tikus dan lalat," ujar pemilik Instagram Touraveller itu.

Menerusi video yang dikongsi di laman Twitter, Indiana menunjukkan keadaan serta rupa mayat individu yang baru sahaja meninggal dalam tempoh beberapa hari.

ARTIKEL BERKAITAN: Lokasi Terbaik Lihat Matahari Terbenam Di Bali

Selain itu, dia turut berkongsi foto mayat yang telah reput dan menjadi tengkorak yang mana ia hanya dilitupi kain putih serta dipagari dengan jaring-jaring kayu.

Selain 11 mayat itu, mayat-mayat lain yang telah reput dan tinggal tengkorak akan dialihkan ke kawasan lain di sekitar pokok terumenyan.

"Himpunan tengkorak daripada kematian terdahulu dialihkan ke kawasan lain di bawah pokok terumenyan. Kalau ikutkan cerita legenda, pokok ni dulu terlalu wangi sebab tu kalau ada kematian pun tak ada bau busuk," ujarnya.

DT2

Perkongsian Indiana tentang kunjungannya ke Kuburan Terunyan raih perhatian ramai di Twitter.

Menurut Indiana, Desa Terunyan terletak berdekatan Kintamani dan Tasik Batur dan dia pergi ke Kuburan Terunyan dengan menaiki sampan.

"Macam mana nak ke sana? Saya sewa supir (pemandu) selama sehari dan maklumkan nak pergi ke Terunyan. Dia pun tak pernah bawa sesiapa, malah dia pun tak pernah sampai. Jadi kami memang gamble je.

"Masa drive ke sana, ada orang kampung situ dekat tepi jalan dan dia suruh ikut sampai ke Desa Terunyan tu. Kena naik sampan kalau nak ke Kuburan Terunyan," ujarnya.

Dalam pada itu, Indiana berkata terdapat beberapa pantang larang bagi setiap pengunjung yang hadir ke lokasi itu.

Antaranya, pengunjung tidak boleh berkata-kata kotor, mengambil barang-barang di sekitar, dilarang berkelakuan tidak senonoh, membuang sampah merata-rata dan perlu memakai pakaian sopan.

DT4

Mayat yang tidak ditanam dapat dilihat dengan dekat oleh pengunjung.

Perkongsian Indiana meraih lebih 2,000 ulang kicau (retweet) dan dia turut dihujani banyak soalan termasuklah tentang bau mayat di lokasi itu.

"Ramai tanya tak ada bau busuk ke? Seriously, saya tak bau apa-apa. Hanya bau segar hutan. Kalau anda selalu masuk hutan dan hiking, anda tahu baunya macam mana.

"Walaupun mayat tak ditanam atau dibakar (kubur angin/mepasah), penduduk situ tetap akan buat upacara Ngaben untuk si mati.

"Saya datang sebab nak tengok mepasah (kubur angin) je, sebab ia menarik. Saya cuma nak kongsi tentang Kuburan Terunyan sebab saya suka terokai tempat unik," ujarnya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain