suria

Ini 11 lokasi menarik agar OOTD raya anda nampak luar biasa cantik! Rugi kalau tak singgah

Gambar OOTD raya anda pasti menarik dan lain daripada yang lain apabila bergambar di 11 lokasi ini.

HARI pertama Syawal semestinya akan dimanfaatkan sepenuhnya dengan aktiviti menziarahi sanak saudara mahupun kenalan.

Memandangkan alang-alang sudah melaram mengenakan busana indah dan 'meletop', apa kata abadikan kenangan di lokasi-lokasi 'Instagrammable', terutama bagi anda yang beraya di Selangor.

Sebagaimana yang kita tahu, Selangor merupakan sebuah destinasi pelancongan dengan pelbagai lokasi menarik dari kawasan pantai, landskap bandar, elemen kehijauan, dan banyak lagi latar yang menakjubkan untuk anda memperagakan 'Outfit Of The Day' atau OOTD.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Berperang’ dengan angin kencang di Gaomei Wetland, panorama semulajadi di Jiufen paling tak boleh lupa... Taiwan memang pilihan berbaloi!

Mari kita lihat 11 lokasi yang disenaraikan, mana tahu ada yang sesuai dengan tema baju raya anda tahun ini!

1. Laluan Seni Pekan Lama, Kuala Selangor

Laluan Seni Pekan Lama

Laluan Seni ini terletak di Lorong Belakang Jalan Raja Jalil, Pekan Lama Kuala Selangor kepada laluan turapan bersambung (interlocking pavement).

Lorong yang ditambahbaik ini menampilkan pelbagai lukisan mural di sepanjang laluan berkenaan.

Memang cantik kalau mural dijadikan background gambar OOTD anda.

2. Dragonfly Park di Eco Grandeur Puncak Alam

Dragonfly Park di Eco Grandeur Puncak Alam

Eco Grandeur Puncak Alam merupakan kawasan perumahan yang dibina berkonsepkan mesra flora dan fauna.

Uniknya, kawasan tasik yang ada di sini adalah berbentuk seperti dragonfly.

Selain sesuai untuk beriadah, lokasi ini sangat sesuai untuk bergambar.

3. Elmina Valley Park, Elmina City

Elmina Valley Park by @timmy727

Lokasi ini merupakan salah satu destinasi Instagramable popular yang terletak di Elmina City, Shah Alam.

Ia mempunyai beberapa tarikan yang sesuai untuk mengambil gambar seperti laluan pelangi berwarna-warni dan jambatan ikonik Elmina.

4. Taman Persahabatan Jepun, Taman Tasik Shah Alam

Taman Persahabatan Jepun (1)

Taman ini sangat simbolik kerana mencerminkan keakraban kerajaan negeri Selangor dengan Jepun.

Taman bertasik yang terletak di Shah Alam ini dibuka kepada pengunjung secara percuma dari jam 10 pagi hingga 7 malam setiap hari.

Antara tarikan yang ada di taman ini ialah Laman Zen, Kolam Maze dan Gerbang Torii Tsukubai.

Landskap indah yang kemas dan elegan, dengan terdapat jambatan-jambatan kecil dikelilingi air tasik, sememangnya merefleksi budaya masyarakat Jepun.

Memang macam terasa berada di Jepun!

5. Mural Safari, Pekan Diraja Klang

Mural Safari Klang by @rammah_yacco

Lokasi wajib singgah yang mempunyai banyak kedai menjual pelbagai barangan untuk masyarakat India.

Pengunjung juga boleh singgah untuk mengambil gambar mural menarik bertemakan 'Safari' di sepanjang lorong belakang kedai di bandar Klang lama.

Seni mural mempesona ini mengetengahkan pelbagai jenis lukisan haiwan seolah-olah anda berada di safari sebenar.

6. Lover's Bridge, Tanjung Sepat

_Lover’s Bridge Tanjung Sepat by @xiao_lynn1020

Walaupun terletak jauh dari kawasan bandar, kampung nelayan ini tetap menjadi destinasi pelancongan yang popular bagi mereka yang mencari kawasan untuk melihat matahari terbenam sambil ber-OOTD di sini.

Lover's Bridge boleh dikatakan sebagai ikon yang paling dikenali di Tanjung Sepat.

7. Tamarind Square, Cyberjaya

Tamarind Square by @ezahtokiran

Bagi mereka yang sukakan alam semula jadi, inilah lokasi terbaik untuk dikunjungi.

Berkonsepkan reka bentuk urban dan kehijauan, anda tentu akan teruja untuk mengambil gambar berlatarbelakangkan pelbagai tumbuhan flora di sini.

Dengan struktur bangunan yang unik dan moden serta tumbuhan menjalar yang subur, Tamarind Square memberikan ruang terbuka yang selesa sepanjang sesi fotografi di sini.

8. Istana Bandar Jugra, Banting

Istana Bandar by @pixelismephotography

Bergambar berlatarbelakangkan istana ini, secara automatik ia memberi suasana yang nostalgik seperti kembali ke masa silam!

Anda juga boleh bersiar-siar di Pekan Jugra sambil mencari latar belakang fotografi dengan deretan bangunan yang masih dikekalkan sejak berpuluh tahun dahulu seperti Masjid Alaeddin, Muzium Insitu Jugra dan lain-lain tanpa caj masuk.

9. D'Network Setia Eco Park, Setia Alam

Dnetwork

Bertemakan 'Taman Musim Panas di Malaysia', terdapat 38 jenis tumbuh-tumbuhan eksotik dan 18 jenis pohon-pohon renek yang dibawakan dari pelbagai negara.

Terdapat juga Pancutan Air Muzikal yang Pertama di Dunia dengan menggunakan tenaga solar, berkonsepkan Simfoni Kelestarian.

Keseluruhan premis di D'Network Setia Eco Park ini juga menggunakan tenaga solar bertujuan untuk menekankan konsep ekosistem yang lestari untuk semua pengunjung.

10. Gamuda Gardens Park, Rawang

Gamuda Gardens Park by klfoodie

Taman ini berkonsepkan taman biodiversiti di kawasan yang berbukit bukau.

Berkeluasan sehingga 810 ekar, terdapat lima buah tasik di sini, selain daripada air terjun buatan.

Semestinya lokasi ini memberikan latar belakang yang indah untuk fotografi OOTD anda di hari raya nanti!

Pengunjung boleh mengakses masuk ke kawasan ini dengan mudah, melalui tiga lebuhraya utama iaitu lebuhraya Plus, Guthrie dan LATAR.

11. Setia Ecohill Park, Semenyih

Semenyih Setia Eco Hill by siraplimau

Bertemakan Live Green, Setia Ecohill terletak di puncak bukit dengan pemandangan yang dikelilingi dengan alam semulajadi dan kehijauan.

Dilengkapi dengan kawasan permainan untuk kanak-kanak, kawasan ini sangat sesuai untuk sesi fotografi bersama seisi keluarga, tidak mengira umur.

Bolehlah lari seketika dari hiruk pikuk di bandar!

Sambil-sambil beraya, bolehlah singgah sebentar untuk merakamkan OOTD.

Yang pasti, semua lokasi ini bisa membuatkan foto raya anda lebih menarik berbanding biasa!

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain