suria

Tambang rendah, tapi tawar servis premium siap ada pilihan makanan! TransNusa terbang antara KL-Jakarta bermula 14 April

TransNusa bakal melangkah ke industri penerbangan komersial Malaysia bermula 14 April ini.

MELETAKKAN sasaran untuk menawarkan perkhidmatan premium, syarikat penerbangan Indonesia, TransNusa dijangka memberi saingan kepada penyedia perkhidmatan penerbangan komersial lain.

TransNusa bakal melangkah ke industri penerbangan komersial Malaysia dengan dua penerbangan harian ke Kuala Lumpur bermula 14 April ini.

Memperkenalkan segmen pelancongan baharu dan berbangga sebagai 'penerbangan dengan perkhidmatan premium', tambang TransNusa mampu menyaingi syarikat penerbangan komersil tambang rendah, manakala tahap keselesaannya setanding dengan syarikat penerbangan perkhidmatan penuh.

Mempertaruhkan pakej lengkap dengan tambang rendah, TransNusa berkata keistimewaan ini membezakan mereka dengan syarikat penerbangan tambang penuh dan tambang rendah lain yang beroperasi di Asia Tenggara.

Ini termasuklah memberi prioriti untuk memastikan semua penumpangnya menikmati perkhidmatan yang memuaskan di dalam dan di luar pesawat.

Untuk makluman, semua penerbangan TransNusa akan berlepas dan tiba di lapangan terbang antarabangsa utama sahaja.

transnusa 2

TransNusa memberi prioriti untuk memastikan semua penumpangnya menikmati perkhidmatan yang memuaskan di dalam dan di luar pesawat.

Penerbangan dari Indonesia akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Begitu juga penerbangan ke Jakarta, pesawat akan mendarat di Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, seiring dengan objektifnya yang mahu memastikan penumpang dapat menikmati perkhidmatan premium di terminal.

ARTIKEL BERKAITAN: Bayar murah tapi servis premium... TransNusa janji ruang kaki tak sempit, bagasi percuma sehingga 30kg

Semua penerbangan TransNusa merentasi Jakarta-Kuala Lumpur-Jakarta akan mengisi waktu jadual penerbangan utama di mana ia mempunyai permintaan terbesar.

Rakyat Malaysia tidak lama lagi akan berpeluang menikmati semua perkhidmatan TransNusa kerana ia akan melancarkan penerbangan sulungnya ke negara ini pada April 2023, khusus untuk cuti Hari Raya Aidilfitri.

TransNusa kini mempunyai lima pesawat yang terdiri daripada empat Airbus A320 dan satu Comac ARJ 21, dan dalam perancangan menambah dua lagi pesawat.

Antara keistimewaan TransNusa yang pastinya membuatkan penumpang berpuas hati adalah, setiap tempat duduknya mempunyai ruang kaki yang luas, sekali gus menjamin keselesaan sepanjang tempoh penerbangan.

Pesawat TransNusa A320 mempunyai konfigurasi tempat duduk 168-174 yang membolehkan ruang kaki seluas 76 sentimeter (cm) hingga 79 sentimeter, setanding keluasan tempat duduk milik syarikat penerbangan perkhidmatan penuh.

transnusa

Seleksi hidangan dalam penerbangan TransNusa.

Penumpang TransNusa boleh menikmati bagasi percuma sebanyak 15 kilogram (kg) hingga 30kg bergantung pada jenis pakej yang dipilih sebelum penerbangan, begitu juga dengan perubahan penerbangan tanpa had serta makanan.

Untuk hidangan dalam penerbangan, penumpang boleh memilih variasi jenis masakan daripada Nasi Padang tradisional yang berasal dari Sumatera Utara, sehinggalah citarasa barat Chicken Cordon Bleu.

TransNusa menegaskan pihaknya berjaya memastikan tambangnya sangat kompetitif walaupun menyediakan semua perkhidmatan penerbangan premium ini.

Syarikat itu kini mempunyai dua pangkalan di Indonesia, iaiti di Bali dan Jakarta.

Selain laluan baharu Jakarta-Kuala Lumpur-Jakarta, TransNusa mengendalikan 10 penerbangan harian antara Jakarta dan Bali, dan penerbangan tiga kali sehari dari Jakarta ke Jogjakarta.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain