suria

Sebelum ni tutup sebab cuaca ekstrem, pulau indah ini kembali dibuka! Tak jauh pun dari Malaysia

Kepulauan itu mula dibuka untuk aktiviti pelancongan bermula Sabtu. Foto: Instagram AAN_TIANLAJANU

KEPULAUAN Karimunjawa di Kabupaten Jepara, Jawa Tengah, Indonesia kembali dibuka untuk aktiviti pelancongan mulai Sabtu.

Sebelum ini ia ditutup buat sementara waktu akibat cuaca ekstrem.

Pengumuman mengenai pembukaan semula pulau peranginan itu disampaikan menerusi kenyataan oleh Badan Taman Negara Karimunjawa dan disahkan oleh Perhubungan Awam Pejabat Taman Negara (TN) Karimunjawa, Atmojo.

“Berkaitan keadaan cuaca di Perairan Kepulauan Karimunjawa yang semakin baik, Pejabat Taman Negara Karimunjawa telah membuka kembali aktiviti pelancongan di kawasan Taman Negara Karimunjawa,” kata Ketua Pejabat Taman Negara Karimunjawa, Widyastuti dalam kenyataannya pada Jumaat.

Selain itu, Kapal Ekspres Bahari dan Kapal KMP Siginjai yang digunakan untuk ke pulau itu dari Pelabuhan Jepara juga akan beroperasi seperti biasa mengikut jadual masing-masing.

ARTIKEL BERKAITAN: Nak bercuti di Perth, Australia? Jangan lupa ke Rottnest Island... Paling penting wajib selfie dengan quokka

Biarpun keadaan cuaca telah pulih, Atmojo tetap menggesa pelancong yang ingin ke Karimunjawa supaya sentiasa berwaspada dengan ramalan cuaca.

"Rayuan kepada pelancong untuk terus memantau maklumat cuaca, memantau kepastian jadual kapal, dan tentunya prosedur keselamatan untuk perjalanan di laut," kata Atmojo lagi, lapor Kompas.

Dalam pada itu, laman web Beach Addicted turut menyenaraikan kepulauan itu sebagai salah satu destinasi pelancongan terbaik di Indonesia.

Kepulauan Karimunjawa adalah kumpulan 27 pulau tropika di Laut Jawa yang digabungkan ke dalam Kabupaten Jepara di Indonesia.

Ia terletak 80 kilometer (km) utara kota Jepara di Jawa Tengah dan pelancong dinasihatkan untuk ke sana antara bulan April hingga Oktober.

Terdapat tiga pilihan untuk pergi ke Kepulauan Karimunjawa iaitu feri perlahan dari Jepara yang mengambil masa kira-kira enam jam (pilihan bajet), feri laju (pilihan jarak pertengahan) dari Jepara atau Kartini yang mengambil masa kira-kira dua jam, dan penerbangan (pilihan yang lebih mahal dan kurang kerap) dari Surabaya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain