suria

AirAsia X tawar lebih banyak penerbangan ke destinasi popular... sedia terbang ke London, Dubai dan Istanbul

(Empat dari kiri) Colin Currie, Presiden (Komersial) Capital A; Datuk Kamarudin Meranun, Pengerusi Eksekutif Capital A, dan Benyamin Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X ketika majlis pelancaran semula AirAsia X.

SELEPAS dua tahun tidak beroperasi disebabkan pandemik dan penutupan pintu sempadan negara, AirAsia X kembali dengan era baharu dengan mengumumkan penerbangan dari Kuala Lumpur ke London, Dubai dan Istanbul pada tahun ini.

Tidak hanya itu, syarikat perkhidmatan penerbangan jarak jauh tambang rendah itu juga turut melancarkan empat laluan baharu ke Jepun dan Hawaii yang sudah boleh ditempah.

Dengan pengumuman itu, syarikat penerbangan itu menawarkan penerbangan ke tujuh laluan popular dari Kuala Lumpur iaitu ke New Delhi, Sydney, Seoul (Incheon), Tokyo (Haneda), Sapporo (Chitose), Osaka (Kansai) dan dari Osaka ke Honolulu.

Semua laluan ini sudah boleh ditempah sehingga 26 Jun ini untuk tempoh perjalanan di antara 1 Julai 2022 dan 26 Mac 2023.

file7lfy7a71edglrp0hnfd

AirAsia X teruja dapat kembali beroperasi selepas pandemik.

Harga ditawarkan juga cukup menarik iaitu dari RM499 untuk tempat duduk ekonomi (tambang sehala) dan dari RM1,499 untuk tempat duduk Premium Flatbed.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Capital A dan Pengasas AirAsia X, Datuk Kamarudin Meranun berkata, penyambungan semula empat laluan jarak sederhana popular dan pengumuman tiga perkhidmatan jarak jauh baharu itu merupakan pencapaian membanggakan selepas pihaknya melalui satu tempoh sukar dalam sejarah industri penerbangan.

Kamarudin menjelaskan pihaknya teruja untuk kembali terbang ke London selain melancarkan penerbangan buat pertama kali ke Dubai dan Istanbul pada tahun ini.

"Istanbul adalah salah satu destinasi kegemaran saya dan saya tidak sabar untuk kembali ke negara itu tidak lama lagi. Kami yakin semua destinasi ini akan menjadi popular dan kami mengalu-alukan semua tetamu terbang bersama kami," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Jom Cuti-Cuti Malaysia! Kempen #GoJalanLah tawar diskaun tiket penerbangan dan hotel sehingga 35 peratus

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail pula memberitahu pengumuman itu hanyalah permulaan buat syarikat penerbangan itu kerana terdapat lebih banyak destinasi dalam perancangan yang akan diumumkan tidak lama lagi.

Jadual Penerbangan Air Asia X

Jadual penerbangan AirAsia X.

Ini katanya, sejajar dengan memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada pelanggan apatah lagi kini hampir ke semua negara sudah membuka pintu sempadan.

"Penyambungan penerbangan semula ke London serta penerbangan kali pertama terus ke Dubai bakal menjadi pemangkin perkhidmatan penerbangan jarak jauh bernilai hebat dan ia akan mula dijual tidak lama lagi untuk perjalanan menjelang akhir tahun ini.

"Melalui perkembangan perkhidmatan ini, kami akan terus menambah jumlah pesawat dan berharap untuk mengambil kembali para juruterbang serta kru kabin kami secara beransur-ansur.

"Saya yakin semua perkhidmatan kami yang disambung semula atau baharu ini akan mendapat sambutan yang amat menggalakkan dan kami akan kembali kepada kapasiti pra-Covid di beberapa laluan utama kami dalam tempoh 12 bulan akan datang," jelasnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain