suria

Ketahui lokasi shopping murah dan 8 tempat masuk percuma jika anda berkunjung ke Cameron Highlands

Cameron Highlands menjadi destinasi pilihan keluarga untuk bercuti.

CAMERON Highlands adalah destinasi popular setiap kali cuti sekolah atau musim perayaan bagi yang ingin membawa keluarga bercuti dalam suasana cuaca dingin.

Di sana juga terdapat pelbagai lokasi menarik yang boleh dilawati seperti ladang teh, ladang strawberi, taman bunga termasuk destinasi untuk membeli buah-buahan dan sayur-sayuran segar.

ARTIKEL BERKAITAN: Kenali 10 lokasi viral di Selangor... Ambil peluang bawa anak-anak ketika cuti sekolah

Tapi di sebalik itu, terdapat beberapa tip penting yang dikongsikan oleh seorang pengguna Instagram, Eddy Rusdi sekiranya ada yang bercadang hendak bercuti ke Cameron Highlands yang mungkin ramai tidak tahu.

Eddy menjelaskan tip berguna itu disampaikan oleh beberapa rakannya yang bekerja di kawasan pelancongan itu dan ia sangat berguna apatah lagi jika merancang untuk ke sana pada musim cuti sekolah.

file7f6el8ql6ye6dgnogaw

Aktiviti memetik buah di ladang strawberi.

Paling penting katanya, merancang perjalanan adalah faktor terpenting bagi mengelakkan kesesakan selain perlu bersedia dengan kawasan yang sesak dengan pengunjung disebabkan cuti.

Dalam perkongsiannya, Eddy turut berkongsi beberapa lokasi menarik yang boleh dilawati dan paling penting tiada caj dikenakan kepada pelawat.

Antara tempat menarik yang percuma di Cameron Highlands yang boleh dilawati secara percuma termasuklah;

1. YZ Agro Farm (8.30 pagi - 6 petang)

2. KHM Strawberry and Jem (8.30 pagi - 6 petang)

3. Cactus point (9 pagi - 6 petang)

4. Big Red Strawberry Farm (8 pagi - 6 petang)

5. Ladang Lebah (8 pagi - 7 malam)

6. Ladang Anggur Bertam Valley (9 pagi - 5 petang)

7. Kea Farm (8.30 pagi - 6 petang)

8. Pasar Malam Brinchang (Jumaat dan Sabtu)

file7g5ep3umrcw4xsc3jqf

Indah... Bunga yang mekar dan cukup mendamaikan.

Tetapi ada juga beberapa tempat menarik yang lain boleh dikunjungi dan mengenakan caj yang berpatutan seperti;

1.Taman Agroteknologi MARDI yang dibuka pada pukul 8.45 pagi hingga 5 petang (Dewasa RM5, Kanak-kanak RM3)

2. Lavender Garden yang dibuka pada pukul 9 pagi hingga 6 petang (Dewasa RM10, Kanak-kanak RM7)

3. Butterfly Garden yang dibuka pada pukul 9 pagi hingga 6 petang (Dewasa RM7, Kanak-kanak RM5)

4. Orkid and Rose Garden yang dibuka pada pukul 9 pagi hingga 6 petang (Dewasa RM8, Kanak-kanak RM6)

file7fuimmnow7lu50cw8yq

Memetik strawberi putih yang manis terus dari ladang.

Sementara itu, kunjungan ke Cameron Highlands memang tak lengkap jika tidak membeli buah-buahan dan sayuran segar. Eddy menyarankan agar berkunjung ke kawasan S Corner yang mempunyai deretan kedai dan gerai menjual pelbagai barangan segar dengan harga jauh lebih murah.

Di kawasan ini juga katanya, pengunjung boleh membeli buah strawberi dengan saiz besar dan manis dengan harga serendah RM10 untuk lima pek berbanding kawasan lain RM10 untuk tiga pek.

"Di sini juga anda boleh membeli teh uncang dengan harga RM5 sekotak dan kalau beli dalam kuantiti yang banyak, boleh dapat murah lagi. Saya sendiri pernah beli 20 kotak teh uncang dengan harga RM100 serta mendapat barang percuma.

"Sayur-sayuran di sini juga segar dan biasanya dijual dengan harga RM10 untuk lapan pek," jelasnya.

Antara makanan yang wajib dicuba ketika di Cameron Highlands termasuklah aiskrim Malaysia strawberi, strawberi cokelat, nasi lemak sambal strawberi, sayuran goreng, steamboat cheese highlands, ubi rebus, buah-buahan kering dan sebagainya.

Sementara itu, Eddy berkata, jika ada yang merancang untuk bercuti ke kawasan peranginan itu, sebaik-baiknya elak pada musim cuti kerana harga jualan produk akan berlipat kali ganda daripada harga asal.

Selain itu, kebanyakan hotel penuh dan harganya jauh lebih mahal selain kurang privasi disebabkan ramai pengunjung dan sukar mendapat tempat letak kereta.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain