suria

AirAsia sambung semula penerbangan ke Yangon! Ketahui dulu syarat sebelum anda terbang ke Myanmar

AirAsia menyambung kembali perjalanan ke Yangon, Myanmar bermula 3 Jun lalu.

BAGI yang pernah melancong ke Yangon, Myanmar pastinya merindukan makanan jalanan dan kehidupan yang santai di sana.

Golongan 'mak-mak' pula memang boleh lupa diri apabila dapat berkunjung ke Bogyoke Aung San Market @ Scott Gavin Market atau Junction Square untuk membeli kain ela dan pelbagai produk tekstil lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Kenali 10 lokasi viral di Selangor... Ambil peluang bawa anak-anak ketika cuti sekolah

Jangan bimbang, anda sudah boleh mula merancang perjalanan ke Myanmar kerana AirAsia sudah menyambung penerbangan ke Yangon selepas dua tahun ia ditamatkan.

Malah penerbangan pertama AK 504 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2) berlepas pada jam 6.45 pagi 3 Jun lalu dan mendarat di Yangon pada jam 7.55 pagi (waktu tempatan) dengan membawa penumpang seramai 136 orang.

Bagi penerbangan pulang pula, pesawat AK 505 berlepas dari Yangon pada jam 8.25 pagi (waktu tempatan) hari ini dan mendarat semula di Kuala Lumpur pada jam 12.40 tengah hari.

HERO_myanmar_yangon

Yangon terkenal dengan pelbagai keindahan yang mencuri perhatian pelancong.

Bandar Yangon yang indah, dahulunya dikenali sebagai Rangoon, terkenal kerana memiliki batu permata berharga dan lombong permata yang paling dikehendaki di dunia, selain seni bina kolonial British yang indah dan binaan pagoda yang ikonik.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, AirAsia telah menghubungkan kedua-dua pelancong tempatan dan antarabangsa ke Myanmar sejak 2018 dan ia merupakan salah satu destinasi yang paling popular sebelum ini.

Kata Riad, berikutan sekatan perjalanan yang telah dilonggarkan secara berperingkat serta keadaan mula kembali ke fasa pra-pandemik, pihaknya teruja untuk sekali lagi menghubungkan para tetamu ke Yangon dan ke seluruh rantau ini.

"Kami bersedia untuk memastikan para tetamu dapat melakukan perjalanan dengan selamat melalui penyediaan langkah keselamatan dan kesihatan yang ketat termasuklah menggalakkan para tetamu untuk menggunakan ciri daftar masuk kendiri melalui airasia Super App, penyediaan sistem pengecaman wajah FACES dan banyak lagi.

"Kami ingin mengingatkan para tetamu untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan semasa melakukan perjalanan mereka," katanya.

Bagi meraikan penyambungan semula perkhidmatan penerbangan ke Myanmar, AirAsia akan beroperasi penerbangan pergi balik untuk dua kali seminggu dari Kuala Lumpur ke Yangon setiap hari Isnin dan Jumaat dengan tambang penerbangan bernilai terbaik.

Clipboard01

Pelbagai aktiviti boleh dilakukan di Yangon.

Sehingga 12 Jun 2022, para tetamu boleh mula membuat tempahan penerbangan ke Yangon daripada RM189 sehala, untuk tempoh perjalanan antara 1 Julai dan 8 Disember 2022 dengan menekan ikon ‘Flights’ pada aplikasi airasia Super App.

Tetamu yang ingin melakukan perjalanan ke Kuala Lumpur boleh menempah penerbangan mereka dari Yangon dari AS$79 sehala untuk tempoh perjalanan antara 1 Julai dan 8 Disember 2022 untuk tempahan penerbangan mulai sekarang sehingga 12 Jun 2022.

Adakah terdapat sebarang syarat dan peraturan untuk memasuki Myanmar? Berikut adalah beberapa perkara yang perlu anda lakukan.

1. Untuk kemasukan ke Myanmar, hanya pengembara yang telah lengkap divaksinasi sahaja dibenarkan untuk menaiki penerbangan komersial yang telah dijadualkan.

2. Para pengembara juga dikehendaki untuk melakukan saringan Covid-19 sebelum berlepas dan selepas ketibaan dan mengisi Borang Deklarasi Kesihatan semasa ketibaan.

3. Jika keputusan ujian adalah negatif, para pengembara dibenarkan untuk meneruskan aktiviti mereka di negara itu tanpa kuarantin.

4. Semua pengembara (kecuali warga Myanmar) diwajibkan untuk memiliki insurans Covid-19 daripada Myanmar Insurance.

Selain Myanmar, AirAsia telah menyambung semula perkhidmatan penerbangan antarabangsanya dari Kuala Lumpur ke rantau Asia serta merentasi Asean, termasuklah ke Kemboja, India, Thailand dan banyak lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain