suria

Jom 'Layan' Makan Di Festival Makanan Antarabangsa P.Pinang April Ini!

-foto PIFF

GEORGE TOWN: Festival Makanan Antarabangsa Pulau Pinang 2018 (PIFF 2018) akan kembali untuk tahun kedua dan orang ramai berpeluang menikmati minuman dan makanan yang enak disediakan oleh penjaja, vendor, kafe dan restoran terbaik di negeri ini dalam festival selama 16 hari.

Bakal diadakan dari 14 hingga 29 April ini, acara utama ini akan diadakan di Lebuh Pantai, Jalan Kelawai dan Batu Kawan bagi meraikan reputasi Pulau Pinang sebagai syurga makanan di Malaysia.

-foto PIFF

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata terdapat tiga acara utama pada PIFF 2018 yang mewakili pelbagai aspek landskap kulinari Pulau Pinang seperti ‘Street Food Festival', 'Taste of Penang' and 'Food Truck Invasion'.

"Street Food Festival merupakan penghormatan kepada penjaja luar biasa di negeri ini dan akan menampilkan hidangan makanan jalanan yang paling terkenal.

"'Taste of Penang' pula akan menumpukan kepada makanan moden Pulau Pinang dengan kafe dan restoran terbaik menyediakan hidangan eksklusif mereka," katanya pada sidang akhbar baru-baru ini.

-foto PIFF

Beliau berkata Food Truck Invasion akan menampilkan 150 kendera saji menuju ke Batu Kawan untuk perhimpunan kenderaan saji terbesar di dunia.

Selain tiga acara utama itu, terdapat juga satu siri acara sampingan dalam bentuk festival mini dan  pengalaman menikmati hidangan istimewa yang akan diadakan di pelbagai lokasi sepanjang festival 16 hari itu.

-foto PIFF

PIFF dianjurkan oleh TLM Event dengan sokongan kerajaan negeri Pulau Pinang.

Maklumat lanjut mengenai acara itu, orang ramai boleh melayari laman web www.piff.com.my atau Facebook Penang International Food Festival.

-Bernama

Artikel Lain