suria

Khabib beraksi dengan 2 jari kaki patah, Patimat cinta pertama... ketahui fakta menarik bintang UFC yang tak pernah kalah di gelanggang ini

(kiri) Khabib dengan kejuaraan yang dirangkulnya pada 2018. -foto AFP (kanan) Kenangan Khabib bersama arwah bapanya. -foto instagram khabib_nurmagomedov

KHABIB Nurmagomedov mengumumkan persaraannya selepas kemenangannya ke atas Gaethje pada aksi UFC 254 pada Ahad.

Tiga hari lamanya Khabib dan ibunya berbincang sebaik mendapat tahu mengenai pertarungan dengan Justin Gaethje.

Kata putus yang dicapai - ia adalah pertarungan terakhirnya dan itu janji Khabib kepada ibunya.

ARTIKEL BERKAITAN: Khabib umum bersara selepas kekal kejuaraan UFC - "Saya telah berjanji dengan ibu..."

Ketika ditemui sejurus selepas perlawanan itu, bintang UFC itu turut menyuarakan bagaimana besarnya sumbangan arwah bapanya, Abdulmanap terhadap kerjayanya.

Pemergian bapanya pada 3 Julai 2020 akibat komplikasi selepas pembedahan jantung dan Covid-19 ternyata memberi tamparan hebat buat Khabib.

"Hari ini adalah hari terakhir saya bertarung di UFC. Tak mungkin saya ke sini lagi tanpa ayah saya," kata jaguh dari Dagestan, Rusia itu sambil menitiskan air mata.

Ikuti fakta menarik berkaitan atlet kelahiran Rusia yang tidak pernah kalah dalam semua 29 pertarungan.

1. Kejayaan yang dicapai Khabib bukannya sekelip mata, malahan dia mula berlatih sejak berusia lima tahun lagi.

Bermula dengan gusti, judo, gusti Greco-Roman, sambo, jiu-jitsu dan banyak lagi.

Bagaimanapun, ketika di usia mudanya Khabib tidak pernah muncul juara dalam sebarang pertandingan yang disertainya.

Malahan, pada usia 13 dan 14 tahun, Khabib hanya mendapat tempat ke lima dan keenam.

Seterusnya pada usia 16 tahun, pencapaiannya dalam sukan seni bela diri semakin menonjol apabila mendapat tempat ketiga dan mula mendapat perhatian ramai.

2. Siapa sangka bintang yang tangkas di gelanggang ini sebenarnya adalah penuntut dalam bidang ekonomi di sebuah universiti di Rusia.

Khabib mendapat pendidikan vokasional peringkat sekolah menengah sebelum menamatkan pengajian di Kolej Ekonomi dan Kewangan Makhachkala.

3. Bintang UFC ini juga memiliki kelebihan daripada segi bahasa pertuturannya apabila boleh berkomunikasi dengan baik loghat asalnya Avar, Rusia, Turki, Inggeris dan Arab.

4. Khabib melamar isterinya Patimat yang juga cinta pertamanya pada 2013.



Aksi Khabib (kanan) ketika bertarung di gelanggang. -foto AP

Mereka dikatakan mempunyai pertalian keluarga dan berasal dari kampung sama, Sildi.

Malahan, keduanya juga belajar di sekolah dan kelas yang sama tetapi hanya untuk setahun sahaja.

Keluarga Khabib telah berpindah dan dia kemudiannya kembali ke kampung halamannya selepas dikenali sebagai bintang MMA untuk menikahi Patimat.

Mereka kini dikurniakan tiga cahaya mata, masing-masing seorang perempuan dan dua lelaki.

5. Khabib pernah terfikir untuk bersara ketika mengalami kecederaan pada ligamen lutut dan tulang rusuk patah yang akibat pertarungan pada 2014.

Bagi memastikan dia dapat terus menyara keluarga, Khabib ketika itu mula memikirkan untuk bekerja sebagai bouncer.

Bagaimanapun ia ditentang bapanya yang memberi jaminan akan membantu anaknya yang ketika itu telah berkeluarga.

"Tugas kamu adalah makan dengan baik dan ke gim" katanya Abdulmanap yang juga jurulatih anaknya itu.

6. Semasa perlawanan menetang Justin Gaethje, sebenarnya Khabib dalam kesakitan akibat kecederaan pada dua jari kakinya ketika menjalani latihan.

Atlet MMA terkemuka ini yang patah jari kakinya telah dimasukkan ke hospital untuk menjalani rawatan, bagaimanapun Khabib enggan menarik diri.

Kejadian tiga minggu lalu itu didedahkan Presiden UFC Dana White selepas pertarungan terakhir Khabib.



Khabib (kiri) ketika melangsungkan perkahwinan bersama Patimat.

Nama penuh: Khabib Abdulmanapovich Nurmagomedov

Tarikh lahir: 20 September 1988

Umur: 32 tahun

Gelaran: The Eagle

Agama: Islam

Kewarganegaraan: Rusia

Tempat tinggal: Makhachkala, Dagestan di Rusia

Ketinggian: 178sm

Berat: 70kg

Divisyen: Lightweight (2012-2020)

Skil lain: Tali pinggang hitam Judo

Pasukan: Akademi Kickboxing Amerika

Pencapaian: menang semua 29 pertandingan Seni Bela Diri Campuran (MMA), 8 knockout, Muslim pertama memenangi gelaran Ultimate Fighting Championship (UFC)

Laman web: www.khabib.com

Media sosial: selebiriti Rusia yang memiliki pengikut paling ramai di Instagram mencecah lebih 23 juta.

Akademik: Penuntut tahun tiga jurusan Ekonomi Universiti Plekhanov Rusia

Bahasa: Avar, Rusia, Inggeris, Turki, Arab

Bolasepak: Penyokong Liverpool, Real Madrid

Isteri: Patimat

Anak: Seorang perempuan (lahir 1 Jun 2015) dan 2 anak lelaki yang lahir 30 Disember 2017 dinamakan Magomed sempena moyang Khabib, manakala anak bongsu lahir pada 22 Disember 2019

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain