suria

Covid-19 punca JDT hilang pendapatan RM35 juta

Tunku Ismail mengadakan sidang media berkenaan perkembangan JDT. -foto NUR AISYAH MAZALAN/The Star

PENULARAN pandemik Covid-19 telah mengakibatkan pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) hilang pendapatan mencecah RM35 juta.

Pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim meletakkan harapan situasi ekonomi akan segera pulih sekali gus memberi kesan positif terhadap pendapatan JDT.

"Kalau ada pemulihan daripada segi ekonomi, kewangan JDT boleh pulih dalam masa antara satu hingga dua tahun.

"Saya rasa dalam masa mencabar Covid-19 ini, kelab pun terkesan daripada kemampuan kewangan, ini satu dugaan amat besar," titah baginda dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat JDT di Johor Bahru, Rabu.

Menurut TMJ, pihaknya akan mengambil langkah berjimat dalam menguruskan kelab tersebut pada tahun depan.

Sementara itu, baginda bertitah, sasaran JDT untuk menjadi sebuah kelab dengan nilai mencecah RM1 bilion hampir mencapai objektif dan dijangka dicapai pada pertengahan tahun depan.

Tunku Ismail memaklumkan, sasaran itu kini sudah mencapai antara 75 hingga 80 peratus.

"Buat masa kini ada empat syarikat antarabangsa yang berminat, saya tidak boleh dedahkan nama masa ini dan bukan sahaja berniaga dalam stadium, tetapi menguruskan stadium tetapi menaja pasukan.

"Benda ini amat positif apabila kelab yang kami bina ini, JDT mendapat sambutan hebat daripada syarikat luar negara," jelasnya.

Kata Tunku Ismail, perlawanan Piala Malaysia musim ini akan diadakan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos di Larkin kerana padang Stadium Sultan Ibrahim di sini sedang dalam proses naik taraf.

Dalam perkembangan lain, TMJ berkata, JDT akan melancarkan hub perubatan pada awal 2021 manakala sebuah gimnasium JDT pada pertengahan atau hujung tahun depan.-SinarHarian.com.my

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain