suria

Jadi tukang urut, atlet lepas hilang sebelah mata, kini Afiq pemilik salun rambut

Afiq meraih gangsa pada aksi Sukan Komanwel 2018.

BUKAN sahaja pantas berlari,  tetapi atlet paralimpik negara Muhamad Afiq Mohamad Ali Hanafiah mempunyai beberapa bakat terpendam.

Pelari pecut 100 meter kelahiran Johor ini mengakui dia tidak pernah mengimpikan untuk menjadi atlet negara.

Namun kekurangan dari segi penglihatan bermula usia 13 tahun tidak menghalang Afiq untuk bergiat aktif dalam bidang sukan.

“Ketika usia 12 tahun penglihatan saya mengalami masalah katarak dan perlu menjalani pembedahan mata.

“Tetapi sedikit kemalangan berlaku apabila mata yang baru dibedah itu terkena siku seorang kanak-kanak, ketika mata masih dibalut menyebabkan ia membengkak.

“Lama-kelamaan sebelah mata semakin hari semakin kabur ,” ujarnya memulakan bicara kepada mStar Online.

Afiq kini melebar sayapnya dalam bidang perniagaan salun rambut.


Jelas Afiq lagi, biarpun kehilangan deria penglihatan, ia tidak menghalangnya untuk aktif dalam sukan ragbi.

“Tetapi ketika usia 15 tahun ayah melarang saya terus aktif sukan ragbi kerana risau kemungkinan dilanggar.

“Jadi saya mengambil keputusan terlibat dalam olahraga. Pada 2010 saya mula mewakili Para Sukma sebelum mewakili negara lima tahun kemudian,” jelasnya yang merupakan pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel 2018.

Menurut Afiq, sebelum bergelar atlet dia sudah mula berdikari mencari duit sendiri, tidak hanya bergantung kepada keluarga.

Afiq mencium ibunya, Zainab Asrani ketika meraih pingat emas Sukan Para Asean 2017. Turut bersama bapa serta kakaknya, Maisarah.

“Saya mengikuti kursus refleksologi dan mengurut.

"Dengan adanya sijil sah, saya mula bekerja sebagai tukang urut di Sg Wang pada waktu pagi dan sebelah malam di Downtown Cheras pula,” katanya.

Bagaimanapun, kerjaya mengurut itu terpaksa dihentikan selepas dipanggil menjadi atlet sepenuh masa.

“Cuma sesekali kalau kawan-kawan minta tolong urut tu, ada la juga saya tolong,” ujar anak bongsu daripada empat adik beradik ini.

Pemenang pingat emas Sukan Para Asean 2017 itu juga turut berkongsi perkembangan terkini tentang dirinya.

“Memandangkan ada juga kelebihan menggunting rambut, saya dah buka Gent Touch Barber Shop di Pandan Mewah.

“Alhamdullilah ramai kawan-kawan atlet datang menggunakan khidmat saya, termasuk Wan (Riduan Puzi),” katanya yang bersyukur dengan kelebihan yang dimiliki.

Malahan atlet berpotensi ini menganggap apa sahaja yang dikecapinya ketika ini adalah sokongan penuh keluarga dan rakan-rakan.

Afiq, Paralimpik, Olahraga

Artikel Lain