suria

Tiada lagi aktiviti bola sepak! Rubiales enggan lepas jawatan selepas insiden cium 'digantung sementara' - FIFA

FIFA menggantung sementara Rubiales daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak.

GARA-GARA mencium bibir Jenni Hermoso selepas kemenangan Piala Dunia Wanita pada Ahad, Presiden Persekutuan bola sepak Sepanyol (RFEF) Luis Rubiales digantung sementara daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak.

Keputusan daripada FIFA itu dibuat sehari selepas Rubiales enggan berundur dari jawatannya di FA Sepanyol.

Malah dia telah mempertahankan tindakannya dengan menegaskan tidak mempunyai 'niat buruk' semasa mengeluarkan permohonan maaf.

Pada masa sama mendakwa ciuman itu dilakukan 'bersama' dan 'dengan persetujuan' sekali gus menyatakan dia menjadi sasaran sesetengah pihak.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FIFA, Jorge Ivan Palacio (Colombia) menggunakan kuasa yang diberikan oleh Artikel 51 Kod Tatatertib FIFA (FDC), telah memutuskan untuk menggantung sementara Rubiales daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

"Penggantungan ini, yang akan berkuat kuasa mulai 26 Ogos, adalah untuk tempoh awal selama 90 hari, sementara menunggu prosiding tatatertib dibuka terhadap Rubiales pada Khamis, 24 Ogos," katanya dalam kenyataan.

FIFA membuka siasatan awal mengenai perkara itu pada Khamis, 24 Ogos apabila khabar angin mengenai peletakan jawatan Hermoso timbul di media Sepanyol.

Rubiales berusia 46 tahun itu telah mencium bintang juara Piala Dunia Sepanyol Hermoso semasa majlis penyampaian selepas perlawanan akhir Piala Dunia Wanita FIFA di Sydney Ahad lalu yang mencetuskan kontroversi. - Wionews

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain