SELEPAS tewas kepada Maghribi dengan keputusan tipis 1-0, Ronaldo akhirnya menyuarakan isi hatinya. Sebelum itu, apabila wisel penamat ditiup, Ronaldo segera meninggalkan padang dan menuju ke dalam terowong untuk pergi ke bilik persalinan. Ronaldo juga tidak bercakap kepada media selepas perlawanan walaupun menggalas peranan sebagai kapten pasukan. Penerima anugerah Ballon d'Or sebanyak lima kali itu akhirnya meluahkan apa yang terbuku melalui satu hantaran di akaun rasmi Instagram miliknya. Antara yang menyumbang kepada kekecewaan Ronaldo juga adalah kerana dia tidak diberikan kepercayaan oleh jurulatih untuk berada dalam kesebelasan utama perlawanan. "Memenangi Piala Dunia bersama Portugal merupakan impian terbesar saya. Saya beruntung untuk mendapat bermacam jenis anugerah dan trofi. "Tetapi untuk membawa pulang Piala Dunia bersama Portugal, itu apa yang saya mahukan selama ini. Kejayaan tertinggi yang boleh dirangkul seorang pemain bola sepak profesional. "Saya berusaha dengan keras untuk impian ini. Saya berikan kesemuanya di atas padang tetapi masih tidak kesampaian," kata Ronaldo kecewa. Piala Dunia 2022 dipercayai adalah saingan Piala Dunia terakhir yang akan disertai Ronaldo memandangkan dia kini berumur 37 tahun dan Piala Dunia hanya berlangsung empat tahun sekali. - Mirror Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI