suria

Kes rogol: Pemain Kelantan United direhatkan

Suspek (kanan) ketika dibawa ke Mahkamah Kota Bharu bagi mendapatkan perintah tahanan reman sebelum ini. Foto: Sinar Harian

SUSULAN terpalit dengan kes rogol membabitkan seorang gadis pada Mei lalu, seorang pemain bola sepak liga tempatan direhatkan daripada menyertai sesi latihan pasukan dan perlawanan Liga Premier.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Kelantan United FC, Wan Mohd Zul Ikman Wan Abdul Aziz, pasukan itu turut mengesahkan isu rogol terbabit bersabit dengan pemain mereka dan memberi sepenuh kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut mengikut undang-undang.

ARTIKEL BERKAITAN: Disyaki rogol remaja, pemain bola sepak ditahan

"Pihak pengurusan pasukan berpendirian tidak akan bertolak ansur dengan sebarang perlakuan tidak bermoral oleh mana-mana pihak dalam pasukan ini," katanya dalam satu kenyataan kepada akhbar pada Isnin.

Mengulas lanjut, pihaknya juga akan mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang dan terma yang dipersetujui dalam kontrak sekiranya pemain tersebut dibuktikan bersalah.

"Buat masa ini, pemain tersebut direhatkan dahulu daripada menyertai sesi latihan pasukan dan perlawanan Liga Premier sehingga tempoh dimaklumkan kelak," katanya.

Media sebelum ini melaporkan polis menahan seorang pemain bola sepak liga tempatan bagi membantu siasatan kes rogol seorang remaja perempuan berusia 18 tahun.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun pada Selasa lalu berkata, suspek yang berusia 28 tahun itu ditahan di Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB), di Kota Bharu, pada 29 Mei.

Tangkapan dilakukan selepas polis menerima laporan yang dibuat oleh mangsa. - SINAR HARIAN

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain