suria

Bukan hanya Kurt Zouma, 5 bintang sukan turut kejam terhadap haiwan

Zouma menjadi perhatian kerana menganiaya binatang. foto Reuters

RAKAMAN menunjukkan Kurt Zouma mendera kucing peliharaannya yang tersebar minggu ini menggemparkan dunia sukan.

Terdapat desakan supaya pemain pertahanan West Ham itu dipecat, manakala haiwan tersebut diambil daripada penjagaannya.

Pemain itu kemudian mengeluarkan permohonan maaf.

ARTIKEL BERKAITAN: Aniaya kucing peliharaan, Kurt Zouma disiasat polis

Terdahulu, Zouma disiasat polis selepas tular video memaparkan dia menendang dan menampar kucing peliharaannya.

Malangnya, terdapat beberapa lagi bintang sukan yang turut melakukan kekejaman tergadap haiwan.

Daily Star Sport menyenaraikan lima bintang sukan yang turut menganiaya haiwan.

1. Glenn McGrath

Legenda kriket McGrath dikecam selepas penularan foto dirinya memburu haiwan di safari pada 2015.

Warga Australia itu bergambar bersebelahan dengan bangkai haiwan termasuk seekor gajah Afrika.

2. Bixente Larralde

Jaguh sukan Perancis, Bixente Larralde mengemparkan negaranya apabila dirakam menggigit kepala ayam hidup.

Juara Dunia Basque Pelota itu menyembelih haiwan tersebut ketika duduk di meja makan.

Dia kemudian meludahkannya sambil diperhatikan orang lain.

Larralde dikenakan tindakan undang-undang yang berakhir dengan hukuman kerja sosial selama 80 hari.

3. Jared Allen

Jared Allen bukan sahaja bekas pemain pertahanan bola sepak Amerika, tetapi dia juga pemburu haiwan.

Semasa kerjayanya, legenda Minnesota Viking itu muncul di beberapa rancangan untuk bercakap dan melakukan hobinya.

Dia pernah bersembunyi di sebalik pokok dan melemparkan lembing ke arah seekor rusa.

4. Hristo Stoichkov

Walaupun McGrath dilihat menyesal dengan aktiviti pemburannya, namun tidak bagi Hristo Stoichkov.

Bekas penyerang Bulgaria yang bermain untuk Barcelona itu, dilihat bergambar di sebelah bangkai zirafah, kuda belang, dan buaya yang ditembaknya.

5. Pemain Wimbledon FC

Zouma bukanlah pemain bola sepak pertama yang menganiaya haiwan, kerana seorang pemain Wimbledon FC yang tidak dinamakan didakwa pernah melakukannya terhadap seekor anjing sebelum ini.

Seorang bekas pemain kelab, Taff Goose mendedahkan kepada Bazake Media bahawa kisah itu berdasarkan kejadian yang berlaku baru-baru ini. - Daily Star

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain