suria

Rumah dipecah masuk, Reece James hilang pingat Liga Juara-Juara

RAKAMAN CCTV menunjukkan pencuri mengeluarkan peti besi milik James yang mengandungi pingat kejuaraannya.

PERTAHANAN Chelsea, Reece James kehilangan barang berharga, pingat kejuaraan Liga Juara-Juara dan Euro 2020 apabila kediamannya dipecah masuk.

Kejadian itu berlaku ketika James berada Stamford Bridge bagi menghadapi aksi Liga Juara-Juara menentang kelab Rusia, Zenit St Petersburg.

“Selepas pulang daripada aksi Liga Juara-Juara, saya dapati perompak memasuki rumah saya. Mereka mengangkat peti besi yang mengandungi barang peribadi saya ke dalam kereta.

“Saya tidak simpan barang kemas dalam rumah, jadi apa yang berada dalam peti besi adalah pingat Liga Juara-Juara, pingat Piala Super dan pingat naib juara Euro 2020, kata pemain 21 tahun itu menerusi laman sosial Instagram miliknya.

James memainkan peranan besar ketika membantu The Blues muncul juara Liga Juara-Juara malah turut membantu skuad kebangsaan England layak ke final Euro 2020.

James menyeru kepada semua penyokong Chelsea dan England dapat membantunya mengenalpasti individu terbabit.

“Semua bukti ada. Pihak polis, penasihat dan pasukan kekal berada di belakang saya kerana kami mempunyai petunjuk siapa yang melakukannya.

“Nasib baik saya tidak berada di rumah ketika kejadian tetapi apa yang saya mahu katakan adalah saya selamat.

“Saya cukup hargai yang saya ada platform untuk memberitahu apa yang berlaku dan saya harap kami dapat menangkap individu berkenaan dan mereka dapat diberikan pengadilan sewajarnya,” katanya. — Mirror

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain