suria

Berdepan tuduhan pelbagai kesalahan jenayah, bekas jurulatih gimnastik Olimpik AS mati bunuh diri

Geddert menghadapi pertuduhan melakukan aktiviti pemerdagangan manusia dan penganiayaan terhadap atlet dalam jagaannya. Foto: AP

BEKAS jurulatih gimnastik skuad Olimpik wanita Amerika Syarikat (AS), John Geddert, meninggal dunia pada Khamis dipercayai membunuh diri.

Geddert, 63, menghadapi pertuduhan melakukan aktiviti pemerdagangan manusia dan penganiayaan terhadap atlet dalam jagaannya.

"Pejabat saya dimaklumkan mayat John Geddert ditemui lewat petang ini selepas membunuh diri.

"Ia adalah pengakhiran yang tragis untuk sebuah kisah tragis bagi mereka yang terbabit," kata Peguam Negara Michigan, Dana Nessel dalam satu kenyataan.

Polis Michigan State berkata, mayat Geddert ditemui di kawasan rehat di lebuh raya di Clinton County.

Kematiannya bagaimanapun masih dalam siasatan.

Beberapa jam sebelum kematiannya, Nessel mengumumkan 24 laporan kesalahan jenayah membabitkan Geddert, antaranya dua kes serangan seksual membabitkan atlet yang tidak didedahkan namanya.

Geddert juga berdepan 20 kes pertuduhan pemerdagangan manusia dan memaksa mangsanya yang juga atlet melakukan kerja tertentu sehingga menyebabkan mereka mengalami kecederaan.

Geddert menjadi jurulatih gimnastik skuad wanita AS yang memenangi pingat emas pada Sukan Olimpik London 2012. - CBSnews.com

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain