Presiden Felda United meninggal dunia akibat komplikasi jantung

Anuar Malek (tengah) baju hitam menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira pukul 3 pagi Sabtu akibat komplikasi jantung.

PRESIDEN Felda United FC (FUFC) Anuar Malek meninggal dunia kira-kira 3 pagi tadi di sebuah pusat perubatan swasta di ibu negara akibat komplikasi jantung.

Allahyarham berusia 57 tahun.

Setiausaha Agung FUFC Afizal Abu Othman berkata jenazah Allahyarham akan dimandi dan disembahyangkan di Masjid At-Taqwa Senawang, Seremban, Negeri Sembilan, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Kuala Pilah selepas solat zuhur nanti.

Afizal menyifatkan Allahyarham sebagai seorang individu yang amat berdedikasi dalam menjalankan tugas yang diamanahkan kepadanya, selain berjaya membawa pembaharuan ke dalam skuad ‘The Fighters’ yang sebelum ini bergelut dengan krisis kewangan.

Beliau turut mengakui Allahyarham amat rapat dengan pegawai dan pemain pasukan Felda United, selain kerap turun padang bagi memberikan sokongan kepada pasukan berkenaan ketika beraksi dalam saingan Liga Super, Piala Presiden dan Piala Belia.

"Beliau dilantik sebagai Presiden FUFC pada Mac tahun lepas dan telah membawa banyak pembaharuan dalam pasukan Felda United.

"Pembaharuan paling ketara yang dibawa oleh Allahyarham adalah mengetengahkan anak-anak Felda dalam pasukan pembangunan Felda United, selain turut membawa masuk sebahagian besar anak-anak Felda ke dalam skuad utama Liga Super," jelas Afizal.

Allahyarham mula berkhidmat dengan Felda sebagai Pegawai Tadbir pada 1982, selain pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Pembangunan Komuniti Felda pada 2013.

Anak jati Felda Sungai Kelamah, Gemas itu dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Pengarah Besar (Perladangan dan Pembangunan Peneroka) Felda sejak 2015 sehingga kini. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain