suria

Penganjur setuju kembalikan pingat emas Izzah

Penganjur akan memberi balik pingat emas yang dimenangi Izzah.

ISU penarikan balik pingat emas daripada atlet gimrama Izzah Amzan kini selesai selepas pihak penganjur bersetuju memulangkannya.

Pada Isnin, semakan di dalam laman sesawang rasmi Sukan SEA Filipina, gms.2019seagames.com mendapati Izzah yang sepatutnya mempunyai dua pingat emas hanya tinggal satu sahaja.

Izzah sebelum ini memperoleh dua emas masing-masing menerusi acara bola dan riben.

Bagaimanapun pada Selasa, Ketua Kontinjen Negara (CDM) Datuk Megat Zulkarnain Omardin memaklumkan bahawa Izzah akan mendapat semula pingat yang dimenanginya dalam acara riben.

Jelas Megat, Jawatankuasa Penganjur Sukan Sea Filipina (PHISGOC) menerima protes dikemukakan kontinjen Malaysia dan akan menambah semula pungutan pingat emas negara.

Katanya, pihak penganjur bersetuju dengan klausa dalam buku peraturan Sukan Sea dan akan memulangkan semula dan selewat-lewatnya petang ini serta menambah semula emas itu dalam pungutan pingat negara.

Sebelum ini, Presiden Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF), Rachel Lau dilaporkan turut menghantar bantahan rasmi kepada Persekutuan Gimnastik Antarabangsa (FIG) susulan beberapa keputusan kontroversi yang membabitkan gimnas negara.

Sie Yan dan Izzah mencatat kutipan 15.200 mata dalam apparatus riben pada 7 Disember lalu, tetapi juri mengisytiharkan Sie Yan sebagai pemenang pingat emas manakala Izzah di tempat kedua berdasarkan perbezaan tahap kesukaran melakukan rutin.

Pihak teknikal pertandingan, bagaimanapun, mengisytiharkan kedua-dua gimnas negara itu sebagai pemenang bersama selepas kem negara membuat bantahan terhadap keputusan awal oleh pihak juri.

Izzah Amzan, Emas, Gimrama, Sukan SEA

Artikel Lain