suria

Eto'o gantung but pada usia 38 tahun

Eto'o mengambil keputusan untuk bersara pada usia 38 tahun.

BEKAS penyerang Barcelona Samuel Eto’o mengambil keputusan bersara selepas 22 tahun kariernya.

Pemain berusia 38 tahun ini memulakan kariernya bersama Real Madrid dengan hanya tiga penampilan dan selepas itu bermain dengan 13 kelab lain termasuk Barcelona, Inter Milan, Chelsea, Everton dan Sampdoria.

Eto’o lebih cemerlang ketika bersama Barcelona dengan membantu kelab gergasi itu menjuarai La Liga sebanyak tiga kali serta dua trofi Liga Juara-Juara.

Selepas lima tahun di Nou Camp, dia menyertai Inter Milan pada 2009 yang menyaksikan Eto'o membantu kelab ini menjulang trofi Eropah sebanyak tiga kali di bawah jurulatih Jose Mourinho.

Manakala aksi dalam Liga Inggeris dia bersama Chelsea dan Everton untuk tempoh yang singkat.

Namun pada Jumaat malam, Eto’o memuat naik status di Instagram memutuskan untuk menggantung butnya selepas meninggalkan kelab Qatar SC awal tahun ini.

"The End. Towards a new challenge, Thank you all, big love," tulisnya.

Eto’o mula merakam kap bersama negaranya, Cameroon sehari sebelum berusia 16 tahun dan selepas itu merakam 56 gol dalam 118 penampilan keseluruhannya.

Dia juga membantu pasukan kebangsaan merangkul pingat emas Sukan Olimpik di Australia pada tahun 2000 serta Piala Afrika (2000 dan 2002).

Dia juga diundi sebagai Pemain Terbaik Afrika sebanyak empat kali, rekod yang dikongsi bersama bekas pemain Manchester City, Yaya Toure.- dailymail.co.uk     

Artikel Lain