suria

Semua pemain import Kelantan 'angkat kaki'

Junior antara pemain import Kelantan yang meninggalkan pasukan itu.

KELANTAN akan mengharungi  baki saingan Liga Premier musim ini tanpa kelibat khidmat  pemain import susulan kesemua pemain asing yang menyertai pasukan itu membuat keputusan meninggalkan pasukan.

Tindakan terbaru ialah dilakukan  pemain pertahanan dari Brazil, Cassio De Jesus untuk mengikuti jejak langkah bekas rakan sepasukannya iaitu Flavio Beck Junior, Mustafa Zazai dan Raul Tarragona.

Cassio berkata beliau membuat keputusan untuk meninggalkan pasukan selepas Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) didakwa gagal membayar gaji pemain berkenaan sejak lima bulan lalu.

"Sebelum membuat keputusan ini saya telah memberikan masa kepada Kafa untuk berbuat demkian (bayar gaji).

"Saya telah menunjukkan sikap professional tetapi apa yang ditunjukkan oleh Kafa bukan cara sebuah pengurusan sebuah kelab professional," katanya ketika dihubungi di Kota Bharu, Rabu.

Katanya, beliau berterima kasih kepada 'pemain ke-12' (penyokong) atas sokongan padu yang telah diberikan kepada pasukan 'The Red Warriors’(TRW)  selama ini.

"Bagaimanapun sokongan sahaja tidak mencukupi untuk seorang pemain meneruskan karier.

"Saya harap Kelantan akan bangkit, kerana TRW adalah sebuah pasukan yang bagus," katanya.

Sementara itu, Presiden Kafa, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata Cassio masih lagi memegang status sebagai pemain import TRW.

"Setakat ini Kafa tidak melakukan sebarang penamatan kontrak dengan pemain berkenaan.

"Sebab bagi kita (Kafa), selagi tidak ada penamatan kontrak Kafa beranggapan pemain itu masih kekal bersama Kelantan," katanya.

Selepas 14 perlawanan, Kelantan kini tercorot dalam liga dengan sembilan mata.​​​​​​-- Bernama

Kelantan, Kafa, import, Bibi

Artikel Lain