suria

PKNP FC ikat pemain pertahanan dari Brazil

Pedro Victor akan diturunkan malam Sabtu.

PKNP FC, yang dibelenggu masalah kerapuhan benteng pertahanan musim ini, akan memperkenalkan pemain import baharu, Pedro Victor Calil Sandova, pada pertemuan suku akhir kedua Piala FA menentang Perak di Stadium Perak, di Ipoh, malam Sabtu.

Pemain pertahanan kelahiran Sao Pauo, Brazil itu, akan menggantikan pemain kebangsaan Tajikistan, Siyovush Asrorov dalam mengharungi baki perlawanan Liga Super, Piala FA dan kempen Piala Malaysia.

Presiden PKNP FC, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, tindakan mengikat pemain import baharu itu bertujuan mengukuhkan benteng pertahanan selepas muncul pasukan kedua tertinggi membolos 22 gol berbanding 30 gol oleh Kuala Lumpur dalam 11 perlawanan Liga Super setakat ini.

“Kami harap Pedro dapat membantu mengatasi masalah ini selain memberi cabaran dalam baki saingan Liga Malaysia musim ini,” katanya pada sidang media di Hotel Casuarina, Ipoh.

PKNP FC kini menduduki tangga ke-10 dalam saingan Liga Super serta terikat tanpa jaringan dengan Perak pada suku akhir pertama Piala FA.

Zainol Fadzi berkata Pedro dijangka akan diturunkan pada pertemuan dengan Perak esok memandangkan semua dokumen terutama Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) pemain itu sudah diperolehi.

Katanya, pemain itu sudah seminggu berlatih dengan pasukan itu dan mereka mengikat khidmat pemain itu selepas puas hati dengan prestasi pemain itu.

Pedro akan berganding dengan empat pemain import lain dalam pasukan iaitu Yashir Pinto Islame, Thomas Abbey, Amani Aguinaldo dan Giancarlo Lopes Rodriguez.

Selain itu, katanya, setakat ini, beliau belum berpuas hati dengan persembahan penyerang import dan memberi tempoh sehingga 26 Mei ini untuk membuktikan kemampuan mereka.

"Kami sedang menilai pemain terbabit dan akan menukarnya jika perlu sebelum tutup jendela perpindahan kedua pada 29 Mei ini," katanya.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain