suria

JDT rampas kedudukan pendahulu Liga Super

Pemain JDT, Muhammad Safawi Rasid meraikan kejayaan selepas menjaringkan gol penyamaan ketika bertemu dengan pasukan Terengganu FC (TFC) pada saingan Liga Super Malaysia 2019 di Stadium Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu, malam Jumaat. Foto Bernama

JUARA bertahan Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) merampas kedudukan teratas daripada Pahang walaupun seri 2-2 dengan Terengganu FC (TFC) pada aksi ketiga liga di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam Jumaat.

Keputusan itu menyaksikan JDT mengutip tujuh mata selepas tiga perlawanan, berkelebihan satu mata ke atas Pahang.

Kedudukan itu dijangka berubah sekiranya Pahang berjaya menewaskan Melaka di Stadium Hang Jebat, Melaka, Sabtu.

Pada aksi di Kuala Terengganu, TFC berada di hadapan seawal minit keenam menerusi Khairul Izuan Rosli yang menolak masuk hantaran Lee Andrew Tuck.

Bagaimanapun, JDT bangkit mengasak kubu lawan dan pada minit ke-31, mereka dihadiahkan sepakan penaliti selepas pemain TFC, Nasrullah Haniff menjatuhkan pemain import dari Brazil, Diogo Luis Santo di dalam kotak penalti.

Namun, peluang untuk menyamakan kedudukan tidak kesampaian apabila sepakan Diogo tersasar.

Pada babak kedua, skuad Harimau Selatan berjaya menyamakan kedudukan selepas pemain gantian, Muhammad Safawi Rasid menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-62.

Enam minit kemudian Diogo menebus kekecewaannya apabila meledakkan jaringan kedua JDT selepas menolak masuk gol hasil sepakan sudut pemain gantian, Aaron Niguez.

Penantian tuan rumah untuk mengutip mata hadir pada lewat perlawanan apabila Kamal Azizi Zabri mengambil kesempatan daripada keadaan kelam kabut depan gol pelawat  untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-89.

Dalam saingan Liga Premier, JDT II melakar kemenangan ketiga berturut-turut selepas membenam Perlis 2-1 di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor Bahru.

Kemenangan tersebut membolehkan JDT II mengekalkan kedudukan teratas carta liga dengan kutipan sembilan mata selepas tiga perlawanan.

Pada perlawanan berkenaan, Bruno Gabriel Soares meledak gol pertama JDT II selepas menanduk masuk sepakan sudut Nicholas Alberto Fernandez pada minit ke-71, sebelum Perlis menyamakan kedudukan menerusi sepakan kencang Kevin Osei pada minit ke-85.

Nicholas muncul wira skuad JDT II apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-88.

Dalam pada itu, UiTM FC kembali meraih rentak kemenangan selepas mengejutkan Negeri Sembilan 4-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Empat gol skuad 'The Lion Troops' dijaringkan oleh Ahmad Azriddin Rosli pada minit ke-25 dan 62, Robert Waly Lopez Mendy (57' ) dan Zarko Korac pada minit ke-90.

Pasukan tuan rumah meraih gol sagu hati menerusi Matheus Fernandes Vila Real pada minit ke-45. - Bernama

JDT

Artikel Lain