Mat Don akhirnya pilih Melaka United, bukan Pahang atau JDT - Sukan | mStar

Mat Don akhirnya pilih Melaka United, bukan Pahang atau JDT

BEKAS pemain popular Kedah, Liridon Krasniqi secara rasminya bergelar pemain Melaka United (MU) bagi saingan musim 2019.

Selepas kontraknya tamat bersama Lang Merah musim lalu, Liridon atau lebih dikenali 'Mat Don' dikaitkan dengan pasukan Pahang, namun timbul spekulasi apabila dia turut memuat naik gambarnya bersama pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada akaun Instastory miliknya.

Namun semuanya terjawab apabila dia secara rasmi mengikat kontrak bersama Sang Kancil pada satu sidang media yang berlangsung di Melaka pada Selasa.

Pemain kelahiran Kosovo berusia 27 tahun itu bakal digandingkan dengan seorang lagi pemain import baharu, Casagrande.

Malah skuad kendalian Zainal Abidin Hassan itu juga dijangka menjadi sebutan dengan kehadiran bekas pemain kebangsaan berpengalaman Shukor Adan, Safiq Rahim dan Razman Roslan.

"Biasanya pemilihan pemain dipilih oleh jurulatih. Liridon hadir di saat akhir kita fikir pemain ini boleh membantu bukan sahaja dari segi permainannya tetapi dia mungkin boleh menarik lebih ramai penonton kerana kita sedia maklum dia sudah empat tahun bermain dalam Liga Malaysia," ujar Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (Musa), Datuk Yusoff Mahadi kepada media.

Kredibiliti Mat Don sebagai penyerang tidak perlu dipertikaikan lagi berdasarkan rekod cemerlangnya bersama Kedah sebelum ini.

Dia antara watak penting ketika membantu Kedah menjuarai Piala Malaysia pada 2016, selain turut membantu Kedah muncul juara Liga Premier pada 2015 sekaligus membantu skuad Lang Merah itu kembali ke saingan Liga Super pada musim berikutnya.

Sepanjang bersama Kedah, dia turut membantu skuad Hijau Kuning itu menjuarai Piala FA pada 2017 dan Piala Sumbangsih pada tahun yang sama.

Malah Liridon turut menerima Anugerah Pemain Asing terbaik Liga Malaysia untuk dua tahun berturut-turut pada 2016 dan 2017.

Liridon Kraniqi , Melaka United

Artikel Sebelum

PFA lepaskan Muhammad Zafuan serta-merta

Artikel Berikut

Safawi mahu 2019 'clean' kontroversi cinta

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel