suria

Kedah rangka strategi menyerang

KETUA Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak menetapkan falsafah menyerang dalam permainan yang akan digunakan skuad hijau kuning bagi saingan Liga Malaysia musim ini.

Pengendali dari Singapura itu berkata, gandingan pemain muda yang mampu memastikan permainan pantas serta tonggak berpengalaman mampu merencanakan taktikal pasukan berkenaan di atas padang.

Kaedah sama turut digunakan ketika Kedah melayan kunjungan Kelantan dalam perlawanan persahabatan kelmarin yang berakhir dengan kemenagan berpihak kepada skuad tuan rumah 4-1.

“Kita baru dapat berlatih dengan kesemua pemain beberapa hari sebelum perlawanan ini. Walaupun masa yang singkat mereka telah bermain dengan baik dan mula mempamerkan kesungguhan.

“Walaupun menang dengan keputusan 4-1, pemain perlu tahu mereka masih jauh lagi untuk mengharungi Liga Super, Piala FA dan juga Piala Malaysia.

“Apa yang saya dapat lihat ialah lima pemain import Kedah sudah mula menampakkan keserasian dan persefahaman yang baik walaupun hanya baru beberapa hari berlatih bersama, katanya.

Aidil Sharin memberitahu, beliau turut mempunyai misi untuk mengasah bakat pemain muda yang ada sekaligus membentuk sebuah pasukan mantap untuk mengharungi Liga Malaysia.

"Kita mempunyai pemain muda yang berbakat dan saya perlu mencungkil bakat-bakat ini dengan memberi peluang dan masa untuk mereka mempamerkan kemampuan masing-masing.

"Bakat muda ini akan terus menjadi keutamaan saya dan barisan jurulatih untuk membawa mereka ke tahap sepatutnya," ujarnya.

Jelasnya, antara pemain muda yang semakin matang dan akan diketengahkan ialah Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam dan Mohammad Fayadh Zulkifli Amin.

Kedah, Aidil Sharin Sahak

Artikel Berikut

Artikel Lain