"Tiga tahun saya tunggu nak sertai Kedah" - Zaquan Adha - Sukan | mStar

"Tiga tahun saya tunggu nak sertai Kedah" - Zaquan Adha

Zaquan Adha. -fotoBERNAMA

KEPUTUSAN Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak untuk beraksi bersama pasukan Kedah bagi saingan Liga Malaysia musim 2019 bukanlah dibuat secara terburu-buru sebaliknya ia adalah hasrat terpendam sejak tiga tahun lalu.

Penyerang yang mula mencipta nama bersama skuad Negeri Sembilan itu memberitahu, dia menganggap dirinya bertuah apabila diterima oleh Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) selepas tiga tahun berusaha untuk menyertai skuad hijau kuning.

Jelasnya, berikutan itu dia kini mempunyai misi untuk membantu Kedah dalam usaha meraih lebih banyak kejayaan dalam kancah Liga Malaysia.

"Alhamdulillah selepas tiga tahun menunggu saya dapat beraksi bersama pasukan Kedah. Sebelum ini mungkin tak ada rezeki kerana ada saja halangan, tapi saya tetap berdoa untuk menjadi pemain Kedah.

"Saya menghubungi ketua jurulatih (Aidil Sharin Sahak) selepas dia dilantik, untuk mempelawa khidmat saya dan saya sedia untuk memberi yang terbaik.

"Selepas itu saya menghubungi beliau sekali lagi sebelum perlawanan separuh akhir Piala AFF dan memberitahu saya akan ke Alor Setar dan bertemu pegawai KFA untuk urusan lanjut.

"Selepast tamat perlawanan akhir Piala AFF di Vietnam, saya tidak melengahkan masa dan terus bersemuka dengan pegawai tertinggi KFA dan dengan restu Aidil Sharin saya menandatangani kontrak untuk musim ini," katanya kepada mStar Online.

Zaquan Adha memberitahu, dia juga kagum dengan sokongan penyokong Kedah pada setiap perlawanan termasuk ketika mewakili Kuala Lumpur, tahun lalu.

Menurutnya, sokongan padu itu tidak pernah berkurangan walaupun pasukan itu melalui kekalahan.

"Selain itu, terdapat pemain-pemain Kedah juga pernah bermain bersama saya dalam skuad kebangsaan atau ketika di Sekolah Sukan Bukit Jalil pada 2001 hingga 2003.

"Ditambah pula dengan kampung bapa saya di Kulim dan mertua di Alor Setar, suasana ini bukan baharu untuk saya di sini," jelasnya.

Zaquan Adha , KFA , Kedah

Artikel Sebelum

Artikel Berkaitan

Artikel Lain