suria

Joo Ven sasar berada dalam 30 teratas ranking dunia

Joo Ven tidak sabar untuk meningkatkan mutu permainan. - AFP

KUALA LUMPUR: Pemain badminton perseorangan lelaki negara, Soong Joo Ven menyasarkan untuk berada di kedudukan 30 teratas  dalam ranking dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menjelang Jun tahun depan.

Pemain ranking ke-76 dunia itu yakin sasaran itu boleh dicapai jika beliau berjaya untuk kekal  konsisten  dalam setiap kejohanan yang disertai tahun hadapan, bermula dengan Masters Thailand dijadual berlangsung  dari Jan 8 hingga Jan 13, di Bangkok.

“Saya rasa tidak sabar lagi untuk meningkatkan mutu permainan  saya  memandangkan  kempen  kelayakan  untuk Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang akan bermula beberapa bulan lagi.

"Sudah tentu saya ingin memenangi sekurang-kurangnya satu kejohanan utama dalam enam bulan pertama dan secara konsisten mara ke suku akhir atau separuh akhir untuk meningkatkan ranking dunia saya,” katanya kepada wartawan selepas majlis memperkenalkan barisan pemain Kelab Badminton Kepong (Kepong BC) untuk Kejohanan Badmintan SS Malaysia Purple League  2018/19 di sini pada Isnin.

Soong beraksi untuk Kepong BC dalam kejohanan itu yang sedang berlangsung di Gem in Mall, Cyberjaya, sejak minggu lepas.

Pencapaian terbaik beliau musim ini ialah sebagai naib juara dalam Terbuka Hyderabad 2018, di India September lepas. - Bernama

Soong Joo Ven

Artikel Berikut

Artikel Lain