suria

Pickford pengganti De Gea?

Jordan Pickford.

MANCHESTER United mahu mendapatkan khidmat penjaga gol Everton, Jordan Pickford sekiranya Davide De Gea meninggalkan Old Trafford.

De Gea masih belum menandatangani kontrak baharu yang akan berakhir pada musim panas akan datang walaupun United ada pilihan untuk melanjutkan kontraknya untuk setahun lagi.

Namun Metro.co.uk pada minggu lalu mendedahkan, United enggan melanjutkan kontrak De Gea kerana mereka melihat ia sebagai satu signal kepada seteru lawan bahawa mereka gagal memujuk penjaga gol itu untuk kekal di Old Trafford.

Juventus berminat untuk membida De Gea dan United mungkin terpaksa menjual penjaga gol berusia 28 tahun itu jika dia enggan memperbaharui kontraknya.

Menurut The Sun, Jose Mourinho amat mengagumi Pickford dan akan menjadikannya sebagai penjaga gol utama sekiranya De Gea angkat kaki.

Laporan itu turut mendakwa Mourinho juga mendapat sokongan daripada kakitangannya untuk membawa masuk Pickford.

Pickford mempamerkan aksi cemerlang bersama Everton sejak tiba dari Sunderland pada 2017 dengan bidaan bernilai 30 juta pound sterling.

Penjaga gol berusia 24 tahun itu turut diberikan kontrak selama enam tahun dengan Everton pada September lalu. - Metro.co.uk

Jordan Pickford

Artikel Lain