suria

Pasukan bola sepak kelahiran AMD banyak lakar kejayaan

KUANTAN: Persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang  diberitahu pasukan bola sepak yang dilahirkan oleh Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang di sini, berjaya melakar pelbagai kejayaan di dalam dan luar negara.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) Pahang Datuk Seri Mohd Johari Hussain berkata antara kejayaan yang dicatat setakat ini ialah menjadi pasukan pertama dari Asia menjuarai kategori bawah 14 tahun Kejohanan Vongido, Belanda selepas 16 edisi.

"Malah AMD menjadi negara di luar Eropah pertama yang melakukannya. Pada  2015, pasukan negara kita juga menjadi juara Kejohanan Bola Sepak Remaja Piala Iber Costa Del di Sepanyol," katanya.

Mohd Johari menjawab soalan Datuk Mustapa Long (BN-Padang Tengku) yang ingin tahu peranan AMD dalam pembangunan bola sepak negara.

Mengulas lanjut, beliau berkata AMD yang diuruskan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dengan pelaksanaan program dikendalikan sepenuhnya oleh Pembangunan Bola Sepak Negara, boleh menempatkan 500 pemain terbaik berusia 13 hingga 17 tahun dari seluruh negara pada satu-satu masa.

"Sehingga kini, seramai 187 pelatih sedang menjalani latihan di AMD termasuk 15 orang dari Pahang. Mereka dipilih menerusi saringan ketat dari seluruh negara dan kini mengikuti latihan secara sistematik dan menyeluruh termasuk pembentukan disiplin dan jati diri," katanya.

Mohd Johari berkata AMD yang berkeluasan 32 hektar juga bertaraf antarabangsa dan mempunyai kemudahan terkini seperti tujuh padang bola berumput, tiga buah padang sintetik, gimnasium, kolam rehabilitasi dan asrama.

Mustapa dalam soalan tambahannya kemudian merujuk kepada laporan media pada Oktober lalu, berhubung kenyataan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang kecewa dengan pelbagai kepincangan di AMD yang dibina dengan kos RM85 juta.

Mohd Johari mengakui terdapat beberapa perkara telah disenaraikan dalam isu tersebut dan menambah siasatan dan tindakan segera sedang dilakukan. -Bernama

AMD, DUN Pahang

Artikel Lain