suria

Tunggakan gaji: Jawatankuasa disiplin FAM perlu bersidang secepat mungkin

Izham Ismail

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Disiplin secepat mungkin bagi memutuskan bentuk hukuman sesuai kepada pasukan dalam Liga Malaysia (Liga-M) yang masih gagal menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain masing-masing.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFAM), Izham Ismail mendakwa kegagalan jawatankuasa berkenaan mengadakan mesyuarat menyebabkan ramai pemain kembali tampil membuat aduan kepada PFAM.

Beliau memaklumkan PFAM sudah membawa perkara berkenaan kepada Jawatankuasa Status FAM beberapa kali sebelum ini, namun hanya Jawatankuasa Disiplin badan induk itu sahaja yang boleh mengambil tindakan tegas ke atas pasukan terlibat.

"Kita sudah buat mengikut prosedur ditetapkan tetapi saya lihat pasukan terlibat masih berdegil untuk menyelesaikan isu ini.

"Malah, saya lihat terdapat segelintir pasukan berkenaan yang sudah bersedia membuat persediaan bagi menghadapi musim baharu Liga-M walaupun masih belum menyelesaikan isu berkenaan," katanya kepada Bernama pada Isnin.

Mengulas lanjut, Izham menggesa FAM mengenakan hukuman setimpal ke atas pasukan terlibat yang bersikap 'lepas tangan' dalam mengatasi masalah berkenaan walaupun beberapa surat amaran sudah dikeluarkan kepada pasukan tersebut oleh FAM, sebelum ini.

Ditanya mengenai punca masalah berkenaan, Izham mengakui keghairahan pasukan berbelanja luar daripada kemampuan mereka, termasuk membayar gaji tinggi kepada pemain import, menjadi punca timbulnya masalah tersebut.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pasukan terlibat untuk menilai kembali struktur kewangan mereka sebelum membuat pelaburan bagi memperkuatkan pasukan masing-masing.

Terbaharu, Ketua jurulatih pasukan Liga FAM, Terengganu FC, Mohd Noor Md Derus dan pembantunya, Roshadi Wahab memohon campur tangan FAM dan kerajaan Terengganu untuk menyelesaikan masalah tunggakan gaji pegawai dan pemain pasukan berkenaan yang berlarutan sejak beberapa bulan lepas.

Mohd Noor bersama lima lagi staf kejurulatihan musim ini termasuk bekas pemain kebangsaan, Anuar Jusoh dilaporkan sudah menghantar surat secara rasmi kepada FAM pada Rabu lalu, berhubung tuntutan keseluruhan berjumlah RM289,500.

Status penyertaan pasukan berkenaan dalam Liga Premier 2019 selepas muncul juara Piala FAM pada musim ini, turut menjadi persoalan susulan kegagalan pengurusan pasukan berkenaan yang gagal menyelesaikan tunggakan gaji pegawai dan pemain mereka.- Bernama

Tunggakan gaji, FAM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain