suria

CEO ISN sah hantar surat mohon pendekkan tempoh kontrak

Dr Mohd Khairi Zawi

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Sukan Negara (ISN) Dr Mohd Khairi Zawi sah menghantar surat permohonan untuk memendekkan tempoh kontraknya dari Januari 2019 kepada 30 November ini.

Perkara itu disahkan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Datuk Lokman Hakim Ali yang menerima surat berkenaan, Khamis lepas.

“Saya sahkan surat daripada Dr Khairi dipanjangkan kepada menteri (Syed Saddiq Syed Abd Rahman) dan dibuat salinan kepada saya. Satu ketetapan akan dibuat di peringkat menteri dan KBS dalam tempoh terdekat.

“Seperti semua sedia maklum, beliau memohon untuk memendekkan kontrak beliau kepada 30 November ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis penutup Kem Bakat Badminton KBS-Nusa Mahsuri Peringkat Kebangsaan 2018 di sini, Ahad.

Lokman Hakim berkata alasan dikemukakan Dr Khairi adalah kerana ingin kembali semula ke tempat kerjanya sebelum ini di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Tetapi alasan tersebut bukanlah berkaitan mengenai penyatuan ISN dengan Majlis Sukan Negara (MSN) mahupun mengenai operasi ISN dan program-program di bawahnya,” kata beliau.

Sementara itu ketika ditanya mengenai siapa bakal pengganti Dr Mohd Khairi, Lokman Hakim berkata KBS mencari individu yang boleh meningkatkan sains sukan sebagai satu sokongan kepada pembangunan atlet di negara ini.

“Sama ada individu tempatan atau luar negara, kita akan buka kepada individu terbaik. Kita mencari seseorang berdasarkan merit dan jika ada calon orang tempatan yang layak, kita akan mengutamakan tenaga tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, Lokman Hakim menjelaskan isu penyatuan ISN dan MSN tidak akan dibincangkan pada Bengkel Persatuan-Persatuan Sukan Kebangsaan, minggu depan.

“Saya dimaklumkan bengkel akan datang ini mengenai penstrukturan semula program sukan kebangsaan. Jadi tidak termasuklah perkara lain daripada itu,” katanya.- Bernama

CEO, ISN, Dr Mohd Khairi Zawi sah

Artikel Lain