suria

Futsal Piala AFF: Malaysia naib juara

Skuad negara meraih gelaran naib juara selepas tewas kepada Thailand dalam aksi final.

KUALA LUMPUR: Skuad futsal kebangsaan muncul naib juara Kejuaraan Futsal Persekutuan Bola Sepak Asean  (AFF) 2018 selepas tewas 2-4 kepada penyandang juara, Thailand pada aksi final, Ahad.

Pada perlawanan yang berlangsung di Gelanggang Olahraga (GOR) Universiti Negeri Yogyakarta, Indonesia itu, barisan anak buah Chiew Chun Yong turun dengan misi membalas dendam selepas kalah kepada lawan sama di pentas final 2017.

Namun segalanya serba tidak menjadi apabila skuad negara ketinggalan 1-2 sebelum berehat, menyaksikan pasukan Gajah Putih itu menguasai hampir keseluruhan perlawanan.

Babak kedua menyaksikan pasukan negara cuba bangkit, namun Thailand terus menggandakan asakan, sebelum Malaysia berjaya menambah satu jaringan manakala pasukan lawan menyumbat dua lagi gol untuk memadamkan sisa-sisa perjuangan pemain negara dan sekadar berpuas hati di tempat kedua.

Pasukan kebangsaan yang muncul juara Kumpulan A melangkah ke perlawanan akhir setelah menumpaskan Vietnam 5-4 dalam penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam waktu permainan sebenar.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik Harimau Malaya pada Kejuaraan Futsal AFF sejak ia dipertandingkan pada 2001, ialah muncul naib juara empat kali termasuk pada tahun lepas yang berlangsung di Vietnam, setelah kecundang 3-4 dalam masa tambahan kepada Thailand dalam perlawanan akhir.-Bernama

Futsal, Piala AFF, Malaysia

Artikel Sebelum

Keputusan Liga Perdana Inggeris

Artikel Lain