suria

Aidil Sharin dilantik jurulatih baharu Kedah

ALOR SETAR: Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) pada Isnin mengumumkan bekas jurulatih Kelab Home United Singapura, Aidil Sharin Sahak dilantik memegang jawatan ketua jurulatih Kedah untuk membimbing pasukan berkenaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2019.

Turut diumumkan ialah pelantikan bekas jurulatih Piala Presiden, Victor Andrag sebagai penolong ketua jurulatih Kedah yang baharu.

Presiden KFA, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata pelantikan Aidil Sharin dan Victor itu dibuat kerana KFA yakin kedua-dua individu itu mampu mengembalikan kegemilangan pasukan Lang Merah yang menampilkan prestasi yang kurang memberangsangkan dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

"Keputusan ini dibuat hasil perbincangan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif KFA hari ini dan buat masa ini kita sedang menyelesaikan beberapa rundingan akhir dan kita akan menandatangani kontrak mereka dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Pada 17 Ogos lepas, Setiausaha Kehormat KFA Mohd Asmirul Anuar Aris memaklumkan bahawa Mohd Nidzam Adzha Yusoff "direhatkan" daripada jawatan ketua jurulatih Kedah dan jawatan itu telah dipangku sementara oleh Penolong Ketua Jurulatih Kedah, Azzmi Aziz.

Mukhriz yang juga Menteri Besar Kedah berkata KFA memberi mandat sepenuhnya kepada Aidil Sharin untuk membuat sebarang keputusan termasuk memilih dan mencadangkan barisan pemain baharu termasuk pemain import yang sedia ada mahupun yang ingin diambil untuk beraksi bersama KFA.

"Semua keputusan kita serahkan kepada dia (Aidil Sharin). Dia akan buat keputusan apa yang baik untuk KFA termasuk sama ada hendak kekalkan atau lepaskan pemain import sedia ada atau hendak tukar semua pemain import terpulang pada dia dan kita akan pertimbangkan secara positif.

"Sehingga kini, seramai lima pemain yang masih mempunyai baki kontrak sehingga akhir tahun hadapan manakala yang lain akan tamat pada musim ini," katanya.

Sementara itu, beliau berkata bagi membawa pembaharuan kepada KFA, pemohonan jawatan pengurus pasukan akan dibuka kepada mana-mana golongan yang merasakan mereka layak untuk memegang jawatan tersebut sepenuh masa dengan menghantar permohonan yang dibuka sehingga 8 November ini.

"Kita buka peluang kepada sesiapa yang layak dan berhubung tajaan pula, syarikat ECK Development Sdn Bhd berminat untuk terus memberi tajaan bagi musim hadapan namun jumlah tajaannya masih belum diputuskan lagi," katanya. - BERNAMA

Aidil Sharin, KFA

Artikel Berikut

Artikel Lain