Pafa beri insentif jika The Bos Gaurus layak ke final - Sukan | mStar

Pafa beri insentif jika The Bos Gaurus layak ke final

IPOH: Kerajaan negeri Perak menerusi Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) akan memberi insentif kepada seluruh pasukan The Bos Gaurus sekiranya layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2018, yang dijadual berlangsung pada 27 Oktober ini.

Presiden Pafa, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim berkata jumlah insentif berkenaan yang akan diumumkan Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu nanti adalah sebagai suntikan semangat kepada pasukan itu untuk beraksi dengan lebih cemerlang.

"Pafa dengan sokongan kerajaan negeri akan memberi insentif kepada seluruh pasukan untuk memberi suntikan semangat dan nilai tambah agar mereka dapat beraksi seperti mana pada aksi ketiga menentang PKNS FC tempoh hari.

"Yang mana pada perlawanan suku akhir tiada siapa meletak harapan untuk Perak melangkah ke separuh akhir kerana kita tidak pernah menang dengan pasukan PKNS FC sebelum ini tetapi atas semangat jitu pemain dapat mengalahkan pasukan lawan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Teknologi Digital Asia Pasifik 2018 dan Pameran Teknologi Digital Antarabangsa di sini Rabu.

Perak dijadualkan akan bertemu Sabah pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Perak, pada Ahad ini.

Kali terakhir Perak melangkah ke final Piala Malaysia adalah pada 2007 manakala merangkul kejuaraan pada 18 tahun lalu.

Dalam pada itu, mengulas mengenai potensi skuad bimbingan Mehmet Durakovic melangkah ke perlawanan akhir, Hasnul Zulkarnain berkata keempat-empat pasukan iaitu Perak, Sabah, Terengganu FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) yang akan bertanding pada perlawanan separuh akhir nanti mempunyai peluang yang sama rata.

"Walaupun kita tidak pernah bertemu dengan Sabah sebelum ini kerana mereka beraksi dalam Liga Premier tetapi apabila mereka berada di separuh akhir mereka juga berkemampuan layak ke akhir.

"Cuma kita perlu mengambil kesempatan ketika beraksi di laman sendiri Ahad ini supaya dapat bekalan gol selesa apabila beraksi di Likas, Sabah, 21 Oktober nanti," katanya. - BERNAMA

Pafa , insentif

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain