suria

Syed Saddiq dijangka jumpa Teong Kim bincang isu PPBN esok

PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan bertemu Pengarah Akademi Mokhtar Dahari, Lim Teong Kim bagi membincangkan isu berkaitan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) dalam tempoh terdekat.

Syed Saddiq, bagaimanapun berkata tiada sebarang keputusan akan dibuat menerusi perjumpaan itu sehingga mesyuarat Jawatankuasa Khas pada 15 Okt ini.

Difahamkan perjumpaan bersama bekas ketua jurulatih skuad bawah 16 tahun negara itu akan diadakan pada Rabu, namun Syed Saddiq enggan mengesahkannya.

ARTIKEL BERKAITAN: "Saya tidak pecat LTK, PPBN akan diteruskan"

“Kami (kementerian) telah mendapat maklum balas daripada beliau (Teong Kim) yang bersetuju untuk berbincang.

“Apa yang saya boleh katakan, pertemuan itu diadakan dalam masa terdekat. Kalau boleh, saya tidak mahu terus membuat keputusan. Ia akan dimuktamadkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas nanti,” katanya kepada pemberita sebelum bermulanya Sesi ‘Motorsports TownHall' di sini pada Selasa.

Isu PPBN semakin hangat diperkatakan apabila Teong Kim gagal mencapai sasaran membawa pasukan bola sepak B-16 kebangsaan mara ke Piala Dunia Bawah 17 tahun (B-17) 2019.

Skuad negara terkandas pada peringkat kumpulan selepas tewas 0-2 kepada Jepun pada Kejuaraan B-16 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018, minggu lepas. - Bernama

Syed Saddiq, Lim Teong Kim

Artikel Sebelum

"Mourinho memalukan United"

Artikel Lain