suria

Zidane ganti Mourinho?

ZINEDINE Zidane mendedahkan dia sedia mempertimbangkan tawaran untuk menguruskan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan.

Kenyataan terbaharu legenda Perancis itu bakal membuatkan Pengurus Manchester United, Jose Mourinho tidak senang duduk selepas ini. 

Zidane, 46, masih belum terikat dengan mana-mana kelab selepas meletak jawatan sebagai pengurus Real Madrid pada Mei lalu.

Peletakan jawatan itu dibuat selepas lima hari Zidane mengemudi kelab gergasi Sepanyol berkenaan memenangi trofi Liga Juara-Juara buat kali ketiga.

Zidane juga membantu Real memenangi trofi La Liga pada musim 2017 selain dua trofi Piala Kelab Dunia FIFA sepanjang tempoh dua tahun setengah di Santiago Bernabeu.

Menurut L’Equipe, Zidane berkata dia sedia mempertimbangkan tawaran daripada mana-mana kelab EPL.

Laporan itu mendakwa bekas pemain tengah Perancis tersebut mahu menguruskan Manchester United.

Mourinho kini semakin tertekan untuk mengukir kejayaan bersama United selepas gagal membantu pasukan itu memenangi sebarang trofi musim lalu.

Meskipun menamatkan saingan EPL di tempat kedua, Mourinho menganggap kejayaan itu sebagai pencapaian terbesarnya bersama United.

Hubungan Mourinho dengan lembaga pengurusan United agak dingin selepas dia mengkritik Ed Woodward kerana gagal membawa masuk pemain yang dikehendakinya sebelum jendela perpindahan pemain ditutup Khamis lalu.

Mourinho memberi amaran kepada Woodward bahawa United bakal berdepan masalah besar jika skuad itu tidak diperkukuhkan.

Malah Mourinho tidak bersetuju dengan Woodward berhubung masa depan Anthony Martial dengan pengendali dari Portugal itu mahu pemain berkenaan dijual.

Artikel Sebelum

Ronaldo keluar hospital

Artikel Berikut

Artikel Lain