suria

Kim Swee intai tiga mata bertembung Kyrgyzstan esok

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad bola sepak Bawah 23 (B-23) negara, Datuk Ong Kim Swee menyasarkan kemenangan apabila turun berdepan Republik Kyrgyzstan dalam aksi sulung Kumpulan E pada Sukan Asia 2018 di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung, Indonesia, Khamis.

Pengendali berusia 47 tahun itu mengakui pasukan Asia Tengah itu mempunyai corak permainan hampir serupa dengan Uzbekistan dan menjangkakan perlawanan sengit bakal disajikan kedua-dua pasukan.

“Kita akan menurunkan barisan terbaik memandangkan perlawanan ini agak penting dan tiada istilah kita mengambil mudah. Kesemua perlawanan di sini amat penting bagi saya,” kata Kim Swee selepas sesi latihan skuad B-23 negara di Indonesia, Rabu.

Audio temu bual berkenaan turut diperoleh Bernama daripada pegawai media Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Kim Swee, bagaimanapun mengingatkan pemainnya supaya tidak memandang rendah kekuatan pasukan lawan yang semestinya turut mengidamkan mengutip tiga mata pada aksi sulung Kumpulan E itu.

Selepas aksi berdepan Kyrgyzstan, Malaysia akan bertemu Korea Selatan pada 17 Ogos di venue yang sama sebelum menamatkan aksi pusingan awal menentang Bahrain di Stadium Wibawa Mukti, Cikarang pada 20 Ogos.

Berdasarkan format pertandingan, dua pasukan terbaik setiap enam kumpulan serta empat pasukan di tempat ketiga kumpulan terbaik, layak ke pusingan kedua kalah mati yang dijadual berlangsung pada 23 dan 24 Ogos.

Peringkat suku akhir akan berlangsung pada 27 Ogos diikuti separuh akhir pada 29 Ogos, manakala aksi final pada 1 September.


Kim Swee

Artikel Sebelum

Zidane ganti Mourinho?

Artikel Berikut

Artikel Lain